GRS sedia hadapi Upko pertahan kerusi Limbahau

LocalPolitics
14 Oct 2025 • 12:22 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Gabungan Rakyat (GRS) Bahagian Limbahau siap sedia menghadapi parti lain pada pilihan raya negeri (PRN17) ini, termasuk kemungkinan pertembungan dengan Upko yang dikatakan turut mengintai kerusi tersebut.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Limbahau, Datuk Juil Nuatim berkata, pihaknya yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan agar terus menjadi milik GRS selepas PRN17 ini.

“Terpulang kepada parti mereka (Upko) dan jika berlaku pertembungan, teruskanlah kerana itu kehendak mereka namun kita (GRS) tetap bersedia (mempertahankan kerusi Limbahau).

“Sebab itu kita sudah siap siaga melalui pelancaran jentera pilihanraya GRS Limbahau hari ini,” katanya ketika sidang media sempena Program Pelancaran Jentera GRS Limbahau, di sini, Sabtu lepas.

Hadir sama Ahli Parlimen Papar merangkap Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali yang turut merasmikan program tersebut.

Susulan gerak kerja dilaksanakan Upko di Limbahau kebelakangan ini, timbul dakwaan kemungkinan parti itu berminat meletakkan calonnya di kerusi itu pada PRN17 ini.

Presiden Upko yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ewon Benedick sebelumnya turut pernah menyatakan hasrat sama namun akan berbincang dengan GRS yang merupakan rakan politik PH untuk menghadapi PRN17.

Mengenai sama ada beliau akan kekal sebagai calon GRS untuk kawasan itu pada PRN17, Juil menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan yang lebih mengetahui perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, sekiranya diberi kepercayaan terus mewakili GRS susulan kapasiti cemerlangnya sebagai penyandang Dun Limbahau, beliau akan pastikan kemenangan lebih besar untuk gabungan itu.

“Terpulang kepada Pengerusi GRS (Datuk Seri Hajiji Haji Noor) untuk menentukannya, kalau diberi peluang semula sebagai calon Dun Limbahau, saya akan menerima dan melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya.

Juil memenangi kerusi Dun Limbahau atas tiket Warisan pada PRN16 lalu dengan majoriti 2,523 menewaskan tujuh pencabar lainnya sebelum bertindak keluar parti untuk menyertai Parti KDM pada Februari tahun 2022 lalu.

Bagaimanapun selepas itu, beliau bertindak keluar KDM dan mengalihkan sokongan kepada kepimpinan GRS sebagai ahli langsung kepada gabungan berkenaan pada Mei tahun 2023 lalu.