
RANAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Paginatan Datuk Abidin Madingkir mempersoalkan tindakan Presiden Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bertindak keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Mengapa kita (dalam Star) keluar daripada GRS sedangkan kita telah bersama-sama membinanya?” katanya sambil merujuk kepada usaha pemimpin gabungan berkenaan dalam mendapatkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan GRS sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Tambahnya, sekiranya memang ada niat untuk keluar daripada gabungan, Star sepatutnya berbuat demikian lebih awal, contohnya pada 2022 dan bukan menjelang PRN17.
“Mengapa kita keluar ketika pilihan raya sudah hampir tiba? Sebab itulah kami tidak dapat bersetuju dengan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa.
“Kami tekad untuk mengekalkan kedudukan kami dalam GRS kerana rumah ini kita bina bersama dan kami akan menjaganya bersama bukan merobohkannya.
Apabila saya turun ke kampung-kampung, saya sentiasa menggesa penduduk agar menyokong kerajaan semasa iaitu kerajaan GRS. Bayangkan jika saya berpaling daripada gabungan ini, bermakna saya telah melanggar prinsip asal saya sendiri,” katanya.
Abidin menambah beliau yakin GRS mampu mengekalkan kestabilan politik di negeri ini sekali gus membawa arus pembangunan dan kemakmuran pada masa kini serta masa hadapan.
“Kestabilan politik amat penting untuk mengekalkan momentum pembangunan yang telah kita nikmati sejak lima tahun lalu. Kita mesti menyokong pelan pembangunan SMJ 2.0 kerana ia merupakan pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Sebagai wakil rakyat Paginatan saya amat berbangga kerana rakyat Paginatan sentiasa berdiri di belakang kami dan kami telah mencapai banyak kejayaan hasil kerjasama antara rakyat Paginatan, penjawat awam, kakitangan UPPM serta Persatuan Pemegang Adat di Paginatan,” katanya.
Menurutnya, antara pencapaian paling signifikan ialah pengeluaran lebih 1,000 geran tanah melalui Program Pantas yang melibatkan pengukuran lebih 6,000 ekar tanah serta usaha mengeluarkan Kampung Ponulangon, Walou dan Kampung Kanawahon daripada kawasan hutan simpan.
Selain itu, katanya, penduduk di kawasan berkenaan juga menyaksikan pelancaran Pekan Baru Paginatan yang baru-baru ini disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah sebagai bukti komitmen kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar serta meningkatkan kuota bagi jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di beberapa kampung yang telah diwujudkan.
“Sebagai kesinambungan kepada Program Pantas, kami telah mengadakan perbincangan bersama PPHT Ranau dengan penduduk Kampung Tinanom, Kampung Kodop Baru dan Kampung Kigiwit bagi pelaksanaan Program Pantas ini.
“Kami komited untuk meneruskan Program Pantas kerana kami amat sedar bahawa memiliki geran tanah sangat bermakna dan bernilai buat kita semua.
“Oleh itu, sokongan padu daripada seluruh rakyat Paginatan amat diperlukan demi kesinambungan pembangunan yang telah dirancang,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Futsal Tertutup PDM Kepangian/Suminimpod yang diadakan di Padang Bola Sepak Kampung Kepangian pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Star Anuar Ghani berkata keputusan parti untuk keluar daripada GRS adalah kehendak rakyat Sabah berdasarkan rundingan bukan kerana oportunisme politik.
“Dr Jeffrey sentiasa mengutamakan kepentingan pengundi Sabah melalui rundingan teliti dan penglibatan akar umbi,” kata Anuar.
“Jika meneruskan keahlian dalam GRS bercanggah dengan nilai dan harapan rakyat Sabah maka kita mesti memilih jalan yang lebih baik untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan Star keluar daripada GRS sebagai penolakan terhadap parti-parti berasaskan Malaya yang selama ini mendominasi landskap politik Sabah.
“Pengunduran Sabah daripada GRS adalah tindak balas langsung terhadap ketidakpuasan hati pengundi terhadap kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan,” kata Anuar.
“Apabila Abidin mempersoalkan masa (pengumuman itu), sebenarnya tiada isu. Saya panggil ini ‘masa rakyat’ kerana inilah masanya untuk mereka membuat keputusan, bukan ahli politik atau parti,” katanya.
Anuar menambah isu-isu yang belum diselesaikan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut banyak mempengaruhi keputusan Star khususnya kelewatan Kerajaan Persekutuan melaksanakan peruntukan MA63 terutamanya bahagian hasil 40 peratus yang dijamin Perlembagaan untuk Sabah.
