Grup WhatsApp ibu bapa: Guru cuma bantu, bukan ‘babu’

LocalFamily & Parenting
24 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Grup WhatsApp ibu bapa: Guru cuma bantu, bukan ‘babu’

BANYAK keluhan yang diterima daripada para guru bahawa mereka dimarahi atau diperli secara terbuka, hanya kerana gagal menjawab dengan kadar segera pertanyaan ibu bapa dan penjaga di luar waktu bertugas.

Bukan itu sahaja, ada juga para guru menerima nasib yang sama, dimaki hanya kerana gagal memenuhi jawapan menepati ‘spesifikasi’ seperti diharapkan.

Contohnya, grup kelas di aplikasi WhatsApp yang menghimpunkan guru dan ibu bapa diwujudkan bagi memudahkan perkongsian maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat serta berkesan.

Namun, ada segelintir ibu bapa ‘menyalahgunakan’ kemudahan tersebut dengan menganggap guru perlu sentiasa bersedia menjawab setiap persoalan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
“Esok pakai baju apa, cikgu?”
“Cikgu, kerja sekolah muka surat berapa?”
“Cikgu ada nampak botol air anak saya?”
“Cikgu, pesan dekat anak saya ambil barang di pagar sekolah.”

Itu antara pertanyaan yang sering muncul di grup WhatsApp antara guru dan ibu bapa murid.

Perlu diingat guru juga manusia biasa yang memerlukan masa dengan keluarga, rehat dan tidur selepas seharian berjuang mendidik anak bangsa yang semakin mencabar tuntutan.

Guru cuba membantu, bukan ‘babu’.

Sudah tiba masanya ibu bapa mendidik anak-anak untuk mengambil tanggungjawab terhadap urusan sendiri, bukan mengambil alih setiap perkara sepatutnya mereka lakukan.

Bimbing dan beri panduan apabila diperlukan dalam membentuk jati diri, sekali gus membantu anak-anak belajar daripada kesilapan dan berkembang menjadi individu lebih matang serta bertanggungjawab.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, ibu bapa dan penjaga perlu berhemah ketika berkomunikasi dengan guru secara beradab.

Kata beliau, ibu bapa dan penjaga juga perlu memahami bahawa tugas serta beban guru atau pendidik tidak semudah dijangkakan.

“Semua pihak perlu berlaku adil dan menghormati tugas dan beban mendidik dalam membina warga berilmu. Jaga adab ketika berkomunikasi dengan guru, ia cerminan kepada anak masing-masing.

“Hentikan amalan menghina, memaki hamun, bersikap kasar, saman-menyaman dan sebagainya sehingga menjejaskan pembangunan anak-anak,” katanya.

Tegas beliau, tanggungjawab memastikan kesempurnaan pendidikan anak-anak atau murid bukan hanya terletak pada guru dan pihak sekolah semata-mata.

“Ibu bapa atau penjaga perlu bertanggungjawab bersama dalam menyedia, membimbing dan melengkapkan keperluan murid kerana warga pendidik juga mempunyai tuntutan kehidupan di luar waktu bertugas.

“Persefahaman mengenai tugas dan tanggungjawab guru di dalam dan luar sekolah memerlukan kerjasama serta sikap saling membantu daripada semua pihak berkaitan,” ujarnya.

Tambahnya, semua pihak perlu memahami dan menghayati tugas serta tanggungjawab masing-masing melalui saluran dan batas komunikasi yang mewujudkan keadaan ‘menang-menang’.

The post Grup WhatsApp ibu bapa: Guru cuma bantu, bukan ‘babu’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved