
BANGUN pagi untuk ke sekolah merupakan perkara sukar kepada sesetengah kanak-kanak. Jadi, waktu pagi boleh menjadi sedikit sibuk kepada ibu bapa atau penjaga untuk menguruskan kanak-kanak yang ingin ke sekolah.
Jika anda atau anak-anak bukan orang yang suka bangun pagi, ini akan menjadi sangat mencabar.
Namun dengan sedikit latihan dan beberapa petua, anda dan anak-anak boleh menjadi orang yang suka bangun pagi.
Justeru, mewujudkan rutin pagi bukan sahaja dapat membantu anda keluar rumah tepat pada waktunya, malah menjadikan waktu tersebut lebih menyeronokkan.
Minggu ini, K-Wanita senaraikan lima cara yang boleh dipraktikkan bagi memastikan anak-anak anda boleh bangun pada waktu pagi dengan mudah tanpa perlu ‘berdrama’.
1 Berikan anak anda jam loceng
Berikan jam loceng yang sesuai dengan usia anak. Anda akan mengajar mereka berdikari, sekali gus rasa bertanggungjawab untuk bangun pada awal pagi. Sudah tentu, anda boleh bersiap sedia jika penggera tidak membangunkan si kecil. Bangun pada waktu pagi sendiri memberi mereka keupayaan untuk hidup lebih berdikari.
2 Berikan kebebasan memilih sarapan
Biasanya, anda mungkin akan makan roti canai atau nasi lemak pada setiap pagi. Sebaliknya, cipta ‘menu’ yang terdiri daripada beberapa pilihan yang sihat dan mesra kanak-kanak. Anda juga boleh meminta mereka memilih makanan untuk sarapan pada setiap hari. Anda boleh meminta mereka memilih sarapan ketika waktu tidur malam atau malam sebelumnya.
Dengan cara ini, anda boleh menyediakan makanan yang dimahukan pada awal pagi, sebelum mereka bangun.
3 Kekal teratur
Mengikut jadual buku, memilih pakaian dan mengumpulkan peralatan sekolah harus dilakukan lebih awal untuk mengelakkan kanak-kanak panik pada saat-saat akhir. Jika anak-anak anda tidak pandai memilih pakaian sekolah yang sesuai, cuba cipta pakaian campur dan padan secara mingguan supaya mereka sentiasa kelihatan selesa.
Anda juga boleh menetapkan satu laci yang boleh dicapai oleh kanak-kanak untuk meletakkan pakaian mingguan supaya mereka boleh mencapai dan membuat pilihan pada setiap hari sekali gus membuat mereka teruja untuk memulakan hari setiap hari.
4 Dapatkan tidur yang cukup
Pagi yang indah bermula dengan tidur malam lena. Pastikan anda dan anak-anak mendapat tidur yang mencukupi. Jika anak-anak anda bangun dengan keadaan mudah marah, pertimbangkan untuk menetapkan waktu tidur lebih awal dan lihat bagaimana mereka bertindak balas.
Dapatkan maklumat tentang berapa lama tidur yang terbaik untuk anak-anak anda pada waktu malam.
5 Matikan televisyen
Elakkan hipnosis pagi yang tidak masuk akal dengan menutup televisyen pada waktu malam. Ini bagi memastikan anak-anak anda fokus untuk membuat persediaan ke sekolah dan menyediakan segala-galanya untuk hari akan datang.
Jika anda suka menonton berita pada waktu malam di televisyen, cuba berbuat demikian selepas anak-anak anda tidur. Dengan cara ini, anak-anak tidak terganggu dan anda boleh memastikan mereka membuat persiapan untuk keesokannya.
The post Anak liat bangun pagi? Cuba 5 tip ini appeared first on Kosmo Online.






