KEPULANGAN 29 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bukan sekadar perjalanan pulang biasa.
Ia adalah kepulangan yang sekali lagi dinanti-nantikan rakyat Malaysia dengan penuh debaran, doa dan bangga terhadap keberanian aktivis membawa suara kemanusiaan mengenai Gaza, Palestin.
Kesemuanya dijangka tiba di Malaysia pada Ahad ini selepas dibebaskan pihak berkuasa Israel bersama 428 aktivis antarabangsa lain yang ditahan ketika misi berkenaan cuba menghampiri Gaza melalui laluan laut.
Apa yang berlaku terhadap delegasi GSF 2.0 sekali lagi membuka mata dunia bahawa isu Gaza bukan lagi sekadar konflik serantau.
Ia merupakan krisis kemanusiaan global yang terus mengundang solidariti masyarakat antarabangsa.
Walaupun berdepan risiko ditahan, disoal siasat malah didakwa mengalami kecederaan, aktivis tetap meneruskan misi membawa bantuan dan mesej kemanusiaan.
Ini turut mengingatkan rakyat Malaysia kepada beberapa episod lampau membabitkan misi kemanusiaan ke Palestin dan kawasan konflik lain.
Setiap kali rakyat Malaysia terlibat dalam misi berisiko tinggi sebegini, seluruh negara akan menunggu dengan penuh cemas mengenai perkembangan semasa mereka.
Bezanya kali ini, perhatian dunia kepada Gaza berada pada tahap yang jauh lebih besar susulan tekanan antarabangsa terhadap Israel yang semakin memuncak.
Di samping itu, kepulangan delegasi Malaysia bukan hanya diraikan sebagai kejayaan individu, tetapi simbol bahawa suara rakyat biasa masih mampu memberi tekanan moral kepada masyarakat antarabangsa.
Meskipun terdapat segelintir pihak mempersoalkan keberkesanan flotila sebegini, hakikatnya misi tersebut berjaya menarik perhatian dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin yang semakin parah.
Ini selari dengan matlamat utama GSF 2.0 iaitu melumpuhkan 'hasbara' atau mesin propaganda palsu rejim Zionis di pentas dunia.
Dalam masa sama, kerajaan Malaysia juga memainkan peranan diplomatik penting dalam memastikan keselamatan delegasi negara.
Kenyataan bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menghantar pesawat khas untuk membawa keluar aktivis daripada tanah haram Israel menunjukkan wujud kerjasama antarabangsa dalam menangani isu berkenaan.
Namun, selepas semua sorakan dan sambutan kepulangan ini berakhir, persoalan lebih besar masih kekal.
Sampai bila dunia hanya mampu menunggu 'kepulangan' para aktivis, sedangkan rakyat Gaza terus menanti keamanan?
Berikut senarai nama aktivis Malaysia bagi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0:
1.Zainal Rashid Ahmad (Kapal Amanda)
2.Muhamad Muhsin Zaidi (Kapal Isobella)
3.Mohammad Shazly Mohammad Shees (Kapal Cactus)
4.Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Kapal Cactus)
5.S Patmanathan (Kapal Ferluto)
6.Syakirin Muhamed Senin (Kapal Ferluto)
7.Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar (Kapal Ferluto)
8.Abdul Samad Selamat (Kapal Bianca ITA)
9.Naufa Azhari (Kapal Bianca ITA)
10.Mohammad Farizzal Rostam (Kapal Gotico)
11.Muhammad Zaid Abdul Karim (Kapal Gotico)
12.Norazman Ishak (Kapal Abodes)
13.Hazwan Hazim Dermawan (Kapal Themis)
14.Mohd Shamsir Mohd Isa (Kapal Themis)
15.Osman Zolkifli (Kapal Themis)
16.Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Kapal Josef)
17.Razman Mat Ali (Kapal Azur)
18.Nor Liyana Farhan Daud (Kapal Amazon)
19.Al Ahmad Shah Abdul Kadir (Kapal Iridescence)
20.Abdul Rahim Abdul Razak (Kapal Marilyn)
21.Eddy Noor Mad Amin (Kapal Marilyn)
22.Mohd Hanafi Mohd Salim (Kapal Bolarize)
23.Mohd Redzal Amzah (Kapal Bolarize)
24.Jihan Alya Mohd Nordin (Kapal Ozgurluk)
25.Norhelmi Ab Ghani (Kapal Ozgurluk)
26.Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs) (Kapal Alcyone)
27.Chin (Kapal Alcyone)
28.Syed Amirul (Kapal Don Juan)
29.Noor Thanisah (Kapal Zefiro)





