GSF 2.0: Sembilan jam lagi empat rakyat Malaysia sampai ke Gaza

LocalWorld
19 May 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: GSF 2.0: Sembilan jam lagi empat rakyat Malaysia sampai ke Gaza
Sani Araby menunjukkan empat rakyat Malaysia yang masih meneruskan pelayaran yang mengambil masa selama sembilan jam untuk menuju ke Gaza.
Image from: GSF 2.0: Sembilan jam lagi empat rakyat Malaysia sampai ke Gaza
Sani Araby pada Sidang Media Khas SNCC di sini pada Selasa.

SEPANG – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 menuju ke Gaza kini memasuki fasa paling getir apabila empat rakyat Malaysia yang masih meneruskan pelayaran dijangka menghampiri zon berisiko dalam tempoh sembilan jam lagi.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, berdasarkan data penjejakan semasa, kapal yang membawa delegasi Malaysia kini berada dalam fasa terakhir perjalanan menuju Gaza tanpa sebarang petunjuk untuk berpatah balik.

Menurutnya, empat rakyat Malaysia yang masih selamat dan meneruskan pelayaran ialah Muhammad Hareez Adzrami dan Chin yang berada di atas kapal Alcyone, Syed Amirul di kapal Don Juan serta Noor Thanisah di kapal Zefiro.

"Dengan kelajuan sekitar 15 kilometer sejam atau kira-kira lapan knot, kapal berkenaan dijangka tiba di zon berisiko dalam tempoh sembilan jam lagi.

"Sembilan jam ini adalah pecutan akhir yang sangat mendebarkan buat anak muda Malaysia patut kita banggakan kerana mereka tidak berpatah hati, tidak melarikan diri dan terus mara ke hadapan walaupun berdepan risiko diculik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di sini pada Selasa.

**media[3525933]**

Dalam pada itu, Sani Araby memberitahu, SNCC kini memantau rapat dua perkembangan utama membabitkan konvoi kapal terbabit.

Katanya, perkembangan pertama ialah maklumat awal mengenai pergerakan kapal tentera rejim Zionis yang didakwa sedang menghampiri flotila berkenaan.

"Kita melihat dan membuat pemantauan terhadap maklumat awal yang mengatakan kapal tentera rejim penjajah sedang bergerak menghampiri kapal-kapal ini.

"Bagaimanapun, kita masih belum mendapat pengesahan penuh mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan kedua pula susulan pengumuman seorang menteri Itali yang mendakwa flotila berkenaan dijangka tiba di Mesir.

Katanya, kedua-dua situasi itu mempunyai kebarangkalian tinggi dan tidak menolak kemungkinan ia adalah taktik Israel untuk mengalih perhatian dunia terhadap operasi sebenar mereka.

"Kita belum pasti ke mana sebenarnya mereka mahu membawa kapal ini kerana Israel sebelum ini sudah mengambil tindakan luar biasa terhadap GSF.

"Jika mereka dibawa ke darat, proses pembebasan mungkin tidak lagi mengambil masa 30 hingga 40 jam seperti sebelum ini. Kita percaya kemungkinan yang sedang dimainkan ialah menahan dan menculik mereka lebih lama di tengah laut," jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dunia kini semakin memberi perhatian terhadap misi GSF apabila 49 ahli Parlimen Kesatuan Eropah dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendesak tindakan segera diambil terhadap rejim Zionis.

Katanya, lebih 50,000 petisyen dari seluruh dunia turut dihantar kepada kementerian luar pelbagai negara sebagai tekanan antarabangsa bagi memastikan keselamatan flotila terbabit.

"Ini menunjukkan dunia sedang bangkit untuk ‘break the silence’ dan dalam masa sama cuba memecahkan kepungan terhadap Gaza," tambah beliau.

Terdahulu, beliau memaklumkan, sebanyak 40 kapal yang membawa hampir 350 aktivis kemanusiaan dipercayai dipintas dan diceroboh rejim Zionis ketika dalam misi menuju ke Gaza.

Beliau berkata, sehingga jam 3 petang Selasa, pihaknya menerima laporan visual mengesahkan semua aktivis di atas kapal terbabit didakwa ‘diculik’ dan dipaksa keluar secara haram daripada kapal masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihak SNCC masih belum menerima pengesahan berhubung lokasi sebenar semua aktivis yang ditahan termasuk destinasi mereka dibawa sama ada masih berada di atas kapal atau dipindahkan ke pelabuhan tertentu.

View Original Article