SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan segera menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan keselamatan aktivis Malaysia yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) terus terjamin serta dibebaskan segera.
Amirudin berkata, perkara itu juga akan dimaklumkan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi memastikan tindakan segera itu diambil susulan penahanan dan serangan oleh rejim Zionis Israel terhadap aktivis kemanusiaan yang dalam misi menghantar bantuan ke Gaza.
"Kita ingin memastikan keselamatan para aktivis Malaysia yang menjadi mangsa serangan dan penahanan ini dapat dijamin dan dibebaskan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Amirudin mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim berkenaan yang didakwa memintas kapal bantuan serta menahan aktivis berhampiran Pulau Crete, Greece, dalam insiden yang disifatkan melanggar undang-undang perairan antarabangsa.
Menurutnya, insiden berulang itu memperlihatkan sikap tidak peduli rejim berkenaan terhadap prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, selain didakwa terus menerus melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
"Kerajaan Selangor mengecam sekeras-kerasnya serangan, halangan dan penahanan oleh rejim Zionis Israel terhadap aktivis Global Sumud Flotilla yang cuba menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza," katanya.
Jelas beliau, tindakan rejim itu juga membuktikan hasrat berterusan untuk meneruskan apa yang disifatkan sebagai genosid terhadap rakyat Palestin sama ada melalui serangan ketenteraan mahupun sekatan bantuan kemanusiaan.
"Sikap lanun pembunuh ini turut memangsakan penduduk di rantau Asia Barat termasuk rakyat Lebanon yang diusir dari tanah sendiri atau pun penduduk di Iran yang menjadi mangsa pembunuhan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak meningkatkan tekanan secara menyeluruh terhadap Israel bagi menghentikan kekejaman berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan misi pelayaran kemanusiaan berdepan ancaman apabila bot tentera Israel mengepung dan memintas 11 kapal GSF secara tidak sah berhampiran zon mencari dan menyelamat di perairan Greece.
Dalam insiden itu, tentera Zionis turut mengancam penculikan dan keganasan.
Terdahulu, aktivis kemanusiaan yang juga pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad dipercayai ditahan bersama dua lagi rakyat Malaysia oleh rejim Israel yang memintas kapal mereka, awal pagi Khamis.
Difahamkan, kapal dinaiki ZRA adalah Arkham III atau Al-Faluja, manakala dua lagi rakyat Malaysia iaitu Dr Jihan dan Kapten Osman menaiki kapal Eros I.






