PUTRAJAYA - Hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan negara Asia Barat berupaya membuka ruang kepada usaha diplomatik bagi membantu 10 delegasi Global Sumud Flotila (GSF) Malaysia yang ditahan rejim Israel.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama, beliau mahu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memainkan peranan membantu rakyat yang ditahan.
“Insya-ALLAH saya akan minta Menteri Luar dan tentunya hubungan yang baik antara Perdana Menteri dengan negara sahabat, mungkin usaha diplomatik dapat diikhtiarkan,” katanya selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID di sini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai 10 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di 656 batu nautika dari Pantai Gaza iaitu di zon pelayaran antarabangsa pada awal pagi Khamis.
Terdahulu, Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan sebanyak 22 kapal flotila yang dinaiki oleh 186 orang telah dipintas, terputus hubungan dan diceroboh secara langsung.
Daripada jumlah itu, enam kapal yang ditahan iaitu Arkham III, Eros 1, Esplai, Bianca BCN, Freia dan Marea melibatkan 10 rakyat Malaysia antaranya Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa dan Hazwan Hazim Dermawan.
Turut terlibat ialah Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi.






