SNCC Jawab Kritikan Netizen, ‘Misi Ke Gaza Akan Tetap Diteruskan’

4 Oct 2025 • 12:31 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memberikan penerangan kepada Amirudin Shari - Gambar Amirah Abu Bakar

SEPANG — Misi kemanusiaan ke Gaza akan tetap diteruskan meskipun pelbagai kritikan mula membanjuti media sosial. 

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, perjuangan membebaskan Gaza tidak boleh terhenti hanya kerana risiko penahanan.

Menurut beliau, misi seumpama itu sebaliknya ia adalah usaha kemanusiaan berterusan yang semakin mendapat sokongan antarabangsa.

“Selagi mana Gaza tidak dibebaskan, dinafikan hak, kebuluran meruncing, saya kira dunia akan bangkit,

“Kalau kebebasan tidak diberikan, bukan hanya gelombang kedua atau ketiga, malah boleh jadi akan ada gelombang yang berterusan,” katanya dalam satu sidang media malam tadi. 

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab kritikan segelintir pihak di media sosial yang mempertikaikan kewajaran misi flotila diteruskan, selepas ratusan aktivis termasuk rakyat Malaysia ditahan rejim Israel.

Sani berkata, aktiviti seumpama itu akan menjadi desakan yang sangat kuat, bukan sahaja daripada aktivis kemanusiaan, tetapi dari pelbagai pihak lain. 

“Saya sendiri terkejut melihat semangat ini. 

“Pada saya, ia satu perkembangan baik yang harus kita lihat dan tambahkan semangat bagi memberi sokongan kepada Malaysia, ASEAN dan dunia supaya kebebasan dapat diberikan segera dengan cara mendesak secara non-violence,” katanya.

Beliau menarik perhatian, flotila tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi ia membawa tekanan moral dan politik yang mengingatkan dunia bahawa sekatan di Gaza adalah isu kemanusiaan global dan tidak boleh dipandang ringan.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan naratif yang melemahkan usaha kemanusiaan, sebaliknya memperkukuh solidariti serantau dan antarabangsa untuk membela hak rakyat Palestin,” katanya. - Getaran, 4 Oktober 2025