
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang giat berhubung dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan semua aktivis Malaysia yang ditahan rejim Zionis dibebaskan pada kadar segera.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk berunding menerusi saluran diplomatik.
Menurut beliau, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini setiap proses, dari masa ke masa.
“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.
“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata, semua aktivis yang ditahan rejim Zionis kerana menyertai pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) perlu dibebaskan dengan segera.
Tegasnya, GSF ialah sebuah misi keamanan dan kemanusiaan tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.
Beliau memberi jaminan, kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi membebaskan semua rakyat Malaysia yang ditahan.
Sehingga kini, 12 aktivis Malaysia disahkan telah ditahan tentera Zionis, termasuk penyanyi Zizi Kirana dan selebriti, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee.
Turut ditahan ialah pelakon Heliza Helmi dan adiknya Hazwani, manakala lima lagi aktivis termasuk Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana disahkan telah terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC). - Getaran, 2 Oktober 2025


