‘Tahan Aktivis GSF Perbuatan Zalim, Bebaskan Mereka Segera!’ - Anwar

LocalPolitics
2 Oct 2025 • 5:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rakaman CCTV yang memaparkan IDF menahan kapal GSF

KUALA LUMPUR — Tindakan Zionis menahan konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa aktivis dan sukarelawan ke Gaza adalah satu bentuk kezaliman.

Mengecam keras tindakan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, GSF adalah misi keamanan yang sama sekali tidak membawa sebarang senjata atau menggunakan kekerasan. 

image is not available
Antara aktivis Malaysia yang ditahan

Tegas beliau, kesemua aktivis berkenaan perlu dibebaskan segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada penduduk Gaza.

“Sejak pagi tadi kerajaan telah menerima maklumat bahawa 23 rakyat Malaysia termasuk dalam kalangan yang ditahan. 

“Saya bersama beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, segera menghubungi rakan sejawat antarabangsa bagi menyalurkan desakan agar semua aktivis yang ditahan dibebaskan segera,” katanya dalam sidang media. 

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Anwar berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman bagi memohon sokongan mereka dalam usaha mendesak pembebasan sukarelawan serta aktivis Malaysia. 

"Saya dan pasukan sedang berhubung rapat dengan beberapa rakan lain, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio bagi menuntut campur tangan segera tanpa sebarang kelewatan,” katanya. 

Beliau menarik perhatian, prinsip kemanusiaan menuntut agar bantuan diberikan kepada golongan yang lemah, kelaparan dan sakit. 

“Sekiranya nilai kemanusiaan ini tidak dihormati, maka maruah dunia akan hilang sama sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan doa agar kezaliman rejim Zionis dapat dihentikan serta-merta, sekali gus membolehkan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa sebarang sekatan.

“Malaysia tidak akan berdiam diri apabila hak dan maruah rakyat kita diinjak,” tegasnya. - Getaran, 2 Oktober 2025