GST atau SST?: Kerajaan mahu dengar lebih banyak pandangan - Chin Tong

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: GST atau SST?: Kerajaan mahu dengar lebih banyak pandangan - Chin Tong
Chin Tong ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen diharap dapat mengemukakan lebih banyak pandangan dan idea berkaitan sistem percukaian negara, termasuk cadangan untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, perbahasan mengenai perkara itu penting bagi membolehkan kerajaan meneliti secara menyeluruh kelebihan dan kekurangan sistem berkenaan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini.

Menurutnya, antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah perbezaan jumlah syarikat yang terlibat dalam proses kutipan cukai bagi pihak kerajaan.

Beliau berkata, sistem percukaian ketika ini melibatkan kira-kira 130,000 syarikat yang bertanggungjawab mengutip cukai bagi pihak kerajaan.

Sebaliknya, pelaksanaan GST sebelum ini membabitkan kira-kira 900,000 syarikat dalam proses kutipan cukai berkenaan.

"Ini satu perbandingan dan ada banyak lagi aspek yang boleh dibahaskan.

"Saya berharap lebih ramai Ahli Parlimen dapat membahaskan idea, terutama apabila terdapat cadangan untuk melaksanakan semula GST," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai kemungkinan kerajaan mempunyai cadangan untuk memperkenalkan semula GST.

Barisan Nasional (BN) bersama parti-parti komponen pada Ahad dilapor berazam untuk mengembalikan GST sekiranya berjaya menawan semula Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-16.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MCA yang sudah bertahun-tahun membangkitkan isu tersebut mesti teruskan perjuangan bagi membantu golongan peniaga tempatan berkembang maju.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, perbandingan antara kedua-dua sistem percukaian itu perlu dilihat secara menyeluruh supaya perbincangan tidak hanya tertumpu kepada cadangan pelaksanaan semula GST.

Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu mengambil kira keberkesanan mekanisme kutipan hasil kerajaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved