GST belum sesuai dilaksanakan semula, SST sudah jana hasil hampir setara -Johan

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 9:09 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) belum sesuai dilakukan ketika ini memandangkan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada sudah mampu menjana hasil hampir setara dengan kutipan GST pada 2017.

Kerajaan berpandangan belum sesuai

Memetik laporan daripada Berita Harian, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menyatakan, kutipan SST kini bersamaan kira-kira 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hampir menyamai sumbangan GST sebelum ini.

Menurutnya, pelaksanaan semula GST pada kadar sama seperti dahulu tidak semestinya meningkatkan hasil kerajaan, manakala kadar lebih tinggi mungkin diperlukan untuk memperoleh kutipan tambahan.

“Pada masa ini, kerajaan berpandangan belum sesuai untuk melaksanakan GST kerana antara keutamaan dalam Belanjawan 2027 adalah meningkatkan pendapatan rakyat, mengambil kira kos sara hidup yang masih menjadi cabaran utama.
“Kita tidak mahu membebankan rakyat sebelum tahap pendapatan mereka berada pada paras yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘The Big Picture: Budget 2027, Economic Priorities and Malaysia’s Next Growth Chapter’ sempena Forum TaxMax Ke-52.

Image from: GST belum sesuai dilaksanakan semula, SST sudah jana hasil hampir setara -Johan

Peralihan berpotensi alih sebahagian beban cukai

Johan turut menjelaskan peralihan daripada SST kepada GST berpotensi mengalihkan sebahagian beban cukai yang kini ditanggung sektor korporat, termasuk pengeksport, kepada pengguna.

Ujarnya, kerajaan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat melalui kenaikan gaji minimum dan peluasan pelaksanaan gaji progresif dalam sektor swasta.

Dalam masa sama, kerajaan MADANI komited melaksanakan pembaharuan fiskal secara berperingkat, termasuk mengurangkan defisit negara daripada 3.7 peratus pada 2025 kepada sasaran 3.3 peratus menerusi Belanjawan 2027.

Image from: GST belum sesuai dilaksanakan semula, SST sudah jana hasil hampir setara -Johan

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Socio-Economic Research Centre (SERC), Lee Heng Guie berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan kadar GST sekitar empat peratus sekiranya mahu memperkenalkan semula cukai berkenaan.

Menurutnya, kadar itu dianggarkan sebagai kadar neutral hasil yang mampu menjana kutipan hampir sama dengan SST semasa tanpa meningkatkan beban cukai secara mendadak.

“Jika kerajaan memperkenalkan semula GST, kadar empat peratus boleh menjadi kadar neutral hasil.
“Ini bermakna kerajaan boleh memulakannya pada kadar lebih rendah sebelum mempertimbangkan sebarang kenaikan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan GST perlu disertai perlindungan kepada golongan berpendapatan rendah, termasuk menetapkan barangan keperluan asas pada kadar sifar dan meneruskan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah.

Untuk rekod, Malaysia melaksanakan GST pada kadar enam peratus mulai 1 April 2015 sebelum cukai itu ditetapkan pada kadar sifar mulai 1 Jun 2018. SST kemudian diperkenalkan semula pada 1 September tahun sama.

Sumber: Berita Harian (Alzahrin Alias)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved