
PETALING JAYA – Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dianggap belum sesuai ketika ini kerana sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamalkan sekarang sudah mampu menjana hasil hampir setara dengan kutipan GST pada 2017.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, kutipan SST kini bersamaan kira-kira 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hampir menyamai sumbangan GST ketika ia dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, perbandingan itu menunjukkan pelaksanaan semula GST pada kadar sama seperti dahulu tidak semestinya meningkatkan hasil kerajaan berbanding SST, malah kadar GST mungkin perlu ditetapkan lebih tinggi jika kerajaan mahu memperoleh tambahan hasil yang lebih besar yang bakal memberikan kesan kepada perbelanjaan dan kuasa beli rakyat.
Peralihan daripada SST kepada GST juga berpotensi mengalihkan sebahagian beban cukai yang kini ditanggung sektor korporat, termasuk pengeksport, kepada pengguna.
“Pada masa ini, kerajaan berpandangan belum sesuai untuk melaksanakan GST kerana antara keutamaan dalam Belanjawan 2027 adalah meningkatkan pendapatan rakyat, mengambil kira kos sara hidup yang masih menjadi cabaran utama.
“Kita tidak mahu membebankan rakyat sebelum tahap pendapatan mereka berada pada paras yang sewajarnya,” katanya pada sesi ‘The Big Picture: Budget 2027, Economic Priorities and Malaysia’s Next Growth Chapter’ sempena Forum TaxMax Ke-52, di sini, hari ini.
Malaysia melaksanakan GST pada kadar enam peratus bermula 1 April 2015. Cukai itu ditetapkan pada kadar sifar mulai 1 Jun 2018 sebelum SST diperkenalkan semula pada 1 September tahun yang sama.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Socio-Economic Research Centre (SERC), Lee Heng Guie berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan kadar GST sekitar empat peratus jika mahu memperkenalkan semula cukai berkenaan.
Ujarnya, empat peratus dianggarkan sebagai kadar neutral hasil, iaitu kadar yang mampu menghasilkan kutipan hampir sama dengan SST semasa tanpa meningkatkan beban cukai keseluruhan secara mendadak.
Beliau beranggapan kadar itu lebih sesuai sebagai permulaan berbanding enam peratus yang dikenakan sebelum ini, selain memberikan isyarat lebih positif kepada pengguna.
“Jika kerajaan memperkenalkan semula GST, kadar empat peratus boleh menjadi kadar neutral hasil.
“Ini bermakna kerajaan boleh memulakannya pada kadar lebih rendah sebelum mempertimbangkan sebarang kenaikan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan ekonomi dan perniagaan,” katanya.
Bagaimanapun, Heng Guie berkata, GST perlu disertai perlindungan kepada golongan berpendapatan rendah, termasuk menetapkan barangan keperluan asas pada kadar sifar dan meneruskan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah.
The post Pelaksanaan semula GST belum sesuai – Johan Merican appeared first on Kosmo Online.






