Guan Eng desak Anwar bantah pengampunan Jho Low kepada Trump

LocalPolitics
15 May 2026 • 5:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guan Eng desak Anwar bantah pengampunan Jho Low kepada Trump
Anwar didesak supaya mengemukakan bantahan rasmi kepada Trump berhubung permohonan pengampunan Jho Low.

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak supaya mengemukakan bantahan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung permohonan pengampunan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Anwar perlu segera menulis kepada Trump bagi merekodkan secara rasmi bantahan tegas Malaysia terhadap permohonan pengampunan Jho Low atas jenayah berkait 1MDB bernilai RM52 bilion.

"Campur tangan peribadi Anwar akan menghantar mesej yang kuat dan membuktikan komitmen berterusan beliau untuk memastikan semua pelaku skandal 1MDB membayar atas jenayah mereka serta membuat bayaran balik sepenuhnya terhadap dana yang dicuri apatah lagi ini merupakan salah satu skandal kewangan terbesar di dunia.

"Sejak skandal 1MDB tercetus, Anwar bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah menuntut tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dan akauntabiliti penuh terhadap dana yang dicuri. Kini apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau tidak boleh mengabaikan janji tersebut untuk bertindak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Guan Eng menegaskan, kerajaan tidak boleh menunjukkan sebarang kelemahan dalam usaha memastikan semua pihak terlibat tidak terlepas dari hukuman sewajarnya dan menikmati hasil rompakan melalui pengampunan.

Menurut beliau, Jho Low didakwa pada tahun 2018 sebagai dalang utama penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion daripada 1MDB bersama dua pegawai bank Goldman Sachs tetapi beliau berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap.

Katanya, Jho Low turut didakwa membayar kira-kira AS$2 bilion dalam bentuk rasuah kepada pegawai asing termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan.

“Pegawai Jabatan Keadilan (DOJ) AS mendakwa kira-kira AS$1 bilion sogokan dibayar kepada peserta skim tersebut, manakala Jho Low sendiri memperoleh sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion.

“Sehingga kini beliau masih gagal dikesan dan adalah sama sekali tidak boleh diterima sekiranya individu yang berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa Malaysia dan AS diberikan pengampunan,” ujarnya.

Kata Guan Eng, Anwar juga perlu memaklumkan kepada Trump mengenai kesan serius terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia dan usaha antarabangsa memerangi amalan rasuah sekiranya pengampunan diberikan kepada Jho Low.

Terdahulu, Anwar dilapor berkata, Malaysia tidak mempertimbang sebarang sokongan sekiranya Jho Low memohon pengampunan daripada Trump.

Beliau berkata, perkara itu merupakan urusan dalaman kerajaan AS dan bukan sesuatu yang akan diusahakan oleh negara ini.

Akhbar kewangan antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa lalu pula melaporkan Jho Low sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Trump.

Permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, mengikut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.

Jika permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa laman web DOJ AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Jho Low.

Menurut laporan itu, butiran permohonan itu dikategorikan sebagai 'Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman' (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.

Bagaimanapun, seorang pegawai di Rumah Putih memaklumkan kepada WSJ bahawa permohonan pengampunan Jho Low itu buat masa ini belum berada di bawah radar atau menjadi perhatian pihak Rumah Putih.

Jho Low menjadi individu yang paling dikehendaki susulan dakwaan peranannya sebagai dalang utama dalam skandal penyelewengan dana berbilion ringgit milik 1MDB, syarikat pelaburan strategik milik kerajaan Malaysia.