SUBANG JAYA - Gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah tidak mematuhi syarak di Puchong yang diserbu menerusi Ops Taring Chiller pada Jumaat lalu, berupaya memproses lebih 40,000 ekor ayam sehari.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan / Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, ayam itu kemudian dipercayai diedarkan ke kedai runcit, restoran dan premis perniagaan sekitar Puchong serta kawasan Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Cheras dan Bangi.
"Kita masih dalam siasatan lanjut termasuk jumlah premis yang menerima bekalan berkenaan.
"Setakat ini, belum ada maklumat sama ada gudang terbabit turut membekalkan ayam kepada pasar raya besar," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
Muhammad berkata, gudang berkenaan memperoleh bekalan ayam daripada ladang sekitar Selangor sebelum diproses untuk pasaran.
"Permintaan tinggi terhadap ayam sejuk beku membolehkan premis itu mengedarkan bekalan kepada kedai dan pelanggan," katanya.
**media[3695985]**
Tinjauan Sinar Harian di premis itu pada Ahad mendapati keadaan jijik, busuk dan meloyakan, lantai masih lagi kotor dengan kesan darah, bulu ayam serta tong-tong bekas simpanan ayam dipenuhi ulat dan lalat.
Lebih menjijikan, suasana persekitaran premis itu juga berbau busuk seperti berada di pusat pengumpulan sampah yang boleh dihidu dari jarak kira-kira 50 meter dari kawasan terbabit.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah itu telah beroperasi lebih 10 tahun.
Sepanjang tempoh gudang itu beroperasi, kira-kira tiga hingga empat serbuan dan pemeriksaan telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama agensi penguatkuasa berkaitan, namun serbuan pada Jumaat adalah yang pertama melibatkan polis.
Lebih 6.5 tan ayam mentah bernilai RM85,400 yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dirampas dalam serbuan terhadap gudang itu.
Hasil pemeriksaan mendapati ayam berkenaan diproses menggunakan kaedah water bath stunning yang menyebabkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.
Arus elektrik yang digunakan dalam proses waterbath stunning di sebuah premis penyembelihan dikesan mencecah sehingga 130 volt, jauh melebihi paras maksimum yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), iaitu di bawah 10 volt.
Pemeriksaan pihak berkuasa mendapati bacaan arus elektrik di pintu pertama (bahagian hadapan) adalah sebanyak 60 volt, manakala pintu kedua (bahagian tengah) merekodkan bacaan lebih tinggi iaitu 130 volt.
Turut ditahan dalam Ops Taring Chiller itu ialah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, pemilik gudang berkenaan sebagai lelaki tempatan berusia 34 tahun telah dirakam keterangan oleh JAIS bagi membantu siasatan.
"Semakan lanjut mendapati 12 pekerja warga asing itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah," katanya.
Beliau berkata, kesemua pekerja warga asing berkenaan direman selama 14 hari bermula 31 Oktober hingga 13 November ini.
"Mereka disiasat mengikut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.






