Pengguna Islam digesa lebih cakna status halal ayam dibeli

LocalFood
1 Nov 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pengguna Islam digesa lebih cakna status halal ayam dibeli

SHAH ALAM, 1 NOV: Pengguna Islam perlu lebih peka terhadap status halal ayam yang dibeli dengan memastikan proses penyembelihannya mematuhi hukum syarak, selain tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak pengusaha.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata tanggungjawab memastikan sumber makanan halal turut terletak pada pengguna, khususnya ketika memilih pusat penyembelihan yang diyakini mematuhi syariat Islam.

Menurutnya, pensijilan halal tidak semestinya diwajibkan kepada semua pusat penyembelihan kerana terdapat pengusaha yang membekalkan ayam khusus kepada pengguna bukan Islam.

"Sebab itu pengguna Islam perlu cakna, mencari dan membeli ayam dari pusat penyembelihan ayam yang diyakini mengikut syariat Islam," katanya seperti dilapor BH.

Nadzim berkata selain status halal, pengguna juga perlu memberikan perhatian terhadap aspek kebersihan dan konsep 'tayyib' bagi memastikan ayam yang dibeli selamat serta berkualiti untuk dimakan.

Jelasnya, penyembelihan yang memenuhi syarat asas halal tidak semestinya menjamin ayam berkenaan bersih dan selamat untuk dimakan.

Mengulas penggunaan kaedah renjatan elektrik sebelum penyembelihan, beliau berkata kaedah itu difahamkan dibenarkan dalam keadaan tertentu dengan syarat kekuatan arus elektrik dikawal bagi memastikan ayam tidak mati sebelum disembelih.

Menurutnya, renjatan elektrik digunakan untuk menyebabkan ayam pengsan dan mengurangkan pergerakan haiwan berkenaan ketika proses penyembelihan dijalankan.

"Setahu saya, memang ada kaedah dibenarkan (renjatan elektrik) kerana tidak mahu ayam bergerak ketika hendak disembelih, tetapi kekuatan elektrik itu perlu dikawal dan tidak boleh terlalu kuat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas dalam serbuan di sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam di Puchong kerana disyaki diproses tanpa mematuhi hukum syarak serta keperluan pensijilan halal.

Pemeriksaan mendapati premis berkenaan menggunakan kaedah renjatan rendaman air berarus elektrik (water bath stunning) sebelum ayam disembelih.

Dalam Ops Taring Chiller itu, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved