“Gugurnya perajurit…” – Jurulatih & Pelatih TUDM Terkorban Ketika Latihan Bom Lempar

26 Jun 2023 • 11:27 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta seorang pelatih meninggal dunia selepas dikatakan terkena bom lempar yang meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi laman Facebook miliknya menitipkan ucapan takziah buat keluarga mereka atas kehilangan tersebut.

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin dan Leftenan Udara I Mohd Iqmal Masdi.

Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuanNya jua,” katanya.

Menurut laporan Berita Harian, difahamkan, terdapat dua lagi jurulatih yang parah dalam kejadian jam 12 tengah hari itu ketika mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem tersebut.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan lanjut mengenai kes itu masih diteruskan dengan bantuan pasukan forensik IPK Negeri Sembilan yang turut berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.