Gula putih kekal bebas cukai di bawah semakan SST – MOF

LocalPolitics
20 Jun 2025 • 3:14 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Kewangan (MOF) memberi jaminan bahawa gula putih atau gula bertapis tidak akan dikenakan cukai jualan walaupun semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Harga gula putih kekal

Penegasan itu dibuat selepas kenyataan dari MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan harga gula disebabkan cukai jualan ke atas gula mentah.

image is not available

Foto: BH

Menurut MOF, kerajaan MADANI mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai terhadap barangan keperluan asas rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras. Ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan pelaksanaan semula SST.

Walaupun gula mentah yang digunakan dalam penghasilan gula halus akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus, pengilang seperti MSM masih boleh memohon pengecualian cukai bagi bahan mentah dan input pengeluaran mereka.

“Tiada sebab untuk berlaku kenaikan harga gula putih kerana pengilang layak memohon pengecualian ini, dan mereka juga menerima insentif bulanan daripada kerajaan untuk memastikan bekalan dan harga gula kekal stabil di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

Foto: Carian Google

Permohonan pengecualian cukai boleh dibuat melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia, seperti yang diperuntukkan dalam Butiran 1, Lajur (2), Jadual B di bawah Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).