“Pendapatan Rakyat Terlalu Rendah” – PMX Perjelas Kenapa Kerajaan Tangguh Pelaksanaan GST

LocalPolitics
20 Jun 2025 • 2:24 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pelaksanaan semakan semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop cukai Perkhidmatan (SST) yang turut digelar SST2.0 dan akan bermula pada 1 Julai masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.

Ramai mempersoal dan memberi pandangan tersendiri mengenai pelaksanaan sistem cukai itu.

Antara yang mendapat perhatian adalah kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin yang menyifatkan pelaksanaan SST terhadap buah-buahan import asas seperti epal dan oren sebagai ‘tidak masuk akal’.

Malah, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh sebelum ini juga turut berpendapat pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidaklah membebankan jika dibandingkan dengan SST.

Akui Kebaikan GST Namun Tangguh Pelaksanaan Kerana Pendapatan Rakyat Masih Rendah

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebab kerajaan tidak dapat melaksanakan lagi GST buat masa ini.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pendapatan rakyat yang masih rendah.

Malah, Anwar mengakui kebaikan GST sebagai satu sistem percukaian yang efisien dan telus.

Namun, pihak kerajaan berpandangan pelaksanaan cukai tersebut boleh memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah apatah lagi sekiranya ia dilaksanakan dalam keadaan ekonomi rakyat belum bersedia.

“GST itu adalah sistem percukaian antara yang efisien dan telus tetapi terpaksa kita tangguhkan kerana dasar pendapatan rakyat itu terlalu rendah.

“Orang yang pendapatan RM2,000, walaupun kita bagi beberapa pengecualian, tetapi banyak yang terkena (cukai).

“Memang beli gula, beras tak kena cukai, namun dia pergi beli barang lain, naik bas, semua itu secara tidak langsung kena cukai GST.

“GST itu menyeluruh, telus (memang) senang pelaksanaannya, tetapi saya kata, biarlah pendapatan rakyat naik dahulu. Katalah gaji minimum RM4,000, mungkin masa itu kita kata boleh.

“Sekarang Ini orang masih ada gaji RM1,700 atau RM2,000 pun ada,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Kesejahteraan Rakyat Adalah Keutamaan Kerajaan

Jelas Anwar lagi, walaupun ada pihak yang mencadangkan agar GST diperkenalkan semula menerusi kaedah yang lebih sesuai, beliau tetap berpendirian kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kerajaan.

“Itu pun tak apalah kita periksa, tapi janganlah kutuk kita dari segi pelaksanaan,” jelasnya.

Penambahbaikan SST Dilaksanakan Secara Berperingkat & Bersasar

Pada masa yang sama, Anwar turut menjelaskan penambahbaikan SST akan dilaksanakan secara progresif (berperingkat) dan bersasar.

Jelasnya lagi, kadar SST tidak akan dinaikkan kepada barang keperluan asas rakyat.

Tegas Anwar, pelaksanaan percukaian itu adalah bagi memastikan hasil negara dapat dikembalikan semula kepada rakyat khususnya menerusi peruntukan besar dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

“Ambil contoh peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pada 2023 sebanyak RM8 bilion disalurkan, kini mencecah RM13 bilion untuk manfaat sembilan juta rakyat.

“Begitu juga pendidikan, kita tambah kepada RM64 bilion untuk sekolah anak-anak kita.

“Kementerian Kesihatan juga terima peningkatan RM4 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM45 bilion. Ini bukti cukai yang diambil, kita pulangkan semula kepada rakyat dengan cara paling berfaedah,” jelasnya.

Gesa Jabatan Kerajaan Tidak Lagi Gunakan Buah-Buahan Import

Dalam pada itu, Anwar turut mengarahkan semua jabatan agar tidak lagi menggunakan buah-buahan import dan menggantikannya dengan buah-buahan tempatan dalam majlis rasmi.

“Saya sudah arahkan jabatan tidak lagi gunakan makanan import. Dalam lawatan saya di luar negara seperti Laos, Kemboja dan Thailand, mereka tidak hidang makanan import.

“Kalau nak makan ikan kod, beli sendiri. Orang mungkin geli tetapi saya suka ikan keli. Kita bantu petani, tingkatkan hasil dan pendapatan,” katanya.

Info Tentang GST

Untuk info, GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan kadar 6% sewaktu Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Namun, ia dibatalkan pada 8 Ogos 2018 selepas kerajaan pada ketika itu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.

Pemansuhan GST tersebut juga merupakan sebahagian manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) jika menang PRU14 yang lalu.

Source: