
PUTATAN: Rakyat Sabah disarankan memanfaatkan aplikasi MyJalan bagi melaporkan sebarang masalah jalan raya, sekali gus memastikan tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, aplikasi itu membolehkan pengguna membuat aduan dengan mudah serta memastikan masalah seperti jalan berlubang diselesaikan segera.
“Saya memohon agar rakyat Sabah menggunakan aplikasi MyJalan. Ia boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store atau dilayari di laman sesawang Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Melalui MyJalan, rakyat boleh mengemukakan aduan lengkap dengan lokasi serta gambar, dan aduan tersebut akan disalurkan terus kepada pihak berkaitan.
“Bagi Jalan Persekutuan, lubang di jalan akan ditampal dalam tempoh 24 jam mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan piagam pelanggan kami.
“Sementara itu, aduan berkaitan Jalan Negeri, Jalan Desa, Jalan Ladang, atau Jalan Pertanian akan dihantar kepada kementerian atau jabatan yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Lok Kawi, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu jalan rosak dan berlubang yang dihadapi rakyat Sabah ketika ini.
Ahmad turut mendedahkan kadar penggunaan aplikasi MyJalan di Sabah masih rendah berbanding negeri lain.
“Sabah merupakan antara negeri yang paling sedikit menggunakan aplikasi ini. Oleh itu, saya menyeru rakyat Sabah untuk memanfaatkannya bagi memastikan jalan rosak dapat dibaiki segera,” katanya.
Menurutnya, KKR juga berpegang kepada polisi ‘No Wrong Door’, di mana setiap aduan yang diterima akan terus dihantar kepada kementerian berkaitan mengikut kategori jalan.
“Di Malaysia, terdapat 11 kategori jalan, termasuk Lebuh Raya, Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran, Jalan Desa, Jalan Taman, Jalan Pertanian, Jalan Pulau, Jalan Persendirian, Jalan Ladang, dan Jalan Balak.
“Setiap kategori jalan ini berada di bawah tanggungjawab kementerian atau agensi tertentu. Sebagai contoh, aduan berkaitan Jalan Desa akan disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), manakala Jalan Negeri akan dirujuk kepada JKR Negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad memberi jaminan pihaknya akan sentiasa menjaga kepentingan pengguna jalan raya dengan memastikan setiap aduan diambil tindakan segera.



