Had jawatan Perdana Menteri: Kemajuan negara lebih pantas

LocalPolitics
19 Mar 2025 • 2:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Nora Ahmad

PUTATAN: Had tempoh bagi Perdana Menteri memegang jawatan dua penggal mungkin akan mempercepatkan lagi pelaksanaan untuk membuat perubahan kepada negara, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau yang menyokong cadangan jawatan Perdana Menteri itu dihadkan untuk tempoh 10 tahun, turut menyatakan ia akan dapat meningkatkan lagi kecekapan dan ketelusan dalam pentadbiran negara.

“Apa yang kita harapkan perbincangan diteruskan antara dalam kerajaan perpaduan mengenai cadangan Perdana Menteri dua penggal itu.

“Saya kira 18 parti dalam kerajaan perpaduan tidak ada halangan tentang cadangan itu sebab ia cadangan yang baik, supaya ada kepantasan seseorang Perdana Menteri apabila mendapat jawatan.

“Kalau 22 tahun (pegang jawatan), ada banyak masa lagi. Jadi dia lambat buat kerja kerana merasakan dia banyak lagi penggal,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan bagi pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi, di sini pada Isnin.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha kerajaan untuk melaksanakan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, yang perlu mendapat sokongan dua pertiga majoriti ahli Parlimen.

Beliau turut membandingkan sistem di Amerika Syarikat, di mana Presiden hanya dibenarkan berkhidmat untuk dua penggal.

“Kalau kita lihat Presiden AS, mereka perlu menyelesaikan banyak perkara dalam tempoh singkat.

“Walaupun saya bukan peminat Donald Trump, saya suka caranya bertindak pantas dengan menandatangani perintah eksekutif secara berterusan kerana dia tahu tempohnya terhad,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa had penggal ini boleh mewujudkan budaya kerja yang lebih efisien dan memastikan setiap Perdana Menteri fokus dalam melaksanakan agenda pembangunan negara tanpa berlengah.

“Itulah pandangan saya secara peribadi,” katanya.