

Orang ramai yang mahu ke Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, kini boleh memasuki ke menara kedua tertinggi di dunia itu melalui Belfield Tunnel.
Projek infrastruktur yang dilaksanakan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan membuka satu lagi jalan masuk ke Menara Merdeka 118, sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di jalan-jalan utama di ibu kota.
Meliputi jarak lebih dari satu kilometer, Belfield Tunnel ialah terowong dua tingkat kedua Malaysia, yang direka secara eksklusif untuk kenderaan yang berulang-alik ke Merdeka 118.

Jalan ini menyediakan laluan masuk dan keluar alternatif, untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya.
Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, Belfield Tunnel merupakan satu laluan yang memudahkan orang ramai ke Merdeka 118.
“Dengan ruang sebanyak 8,000 tempat letak kereta, kami mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk menikmati kemudahan yang disediakan di Merdeka 118 apabila dibuka sepenuhnya kelak,” katanya.

Untuk makluman, Belfield Tunnel boleh diakses menerusi dua jalan masuk, iaitu Jalan Syed Putra dan Jalan Damansara, yang membawa kenderaan terus ke tempat letak kereta bawah tanah 4 di Menara Merdeka 118.
Untuk bergerak keluar, kenderaan boleh dipandu dari tempat letak kereta bawah tanah 5 menuju ke dua jalan keluar, iaitu Jalan Syed Putra dan Jalan Istana.
Terowong ini juga boleh digunakan oleh pengunjung ke satu-satunya hotel Park Hyatt Kuala Lumpur dan juga ke pusat beli-belah 118 Mall, dimana kedua- duanya akan dibuka pada suku kedua tahun ini dan 118 Mall pada suku kedua tahun 2026.



