Guna Kekerasan Jenayah Terhadap Sultan Perak, Wanita Didenda RM500

LocalPolitics
6 Jul 2026 • 6:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Guna Kekerasan Jenayah Terhadap Sultan Perak, Wanita Didenda RM500

KUALA LUMPUR - Seorang wanita yang didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Majistret Norizan Riduan menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 8.20 pagi pada 31 Ogos 2025 di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, daerah Kinta.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta kepentingan awam.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada sambutan Hari Kebangsaan dan melibatkan serangan terhadap seorang Raja Pemerintah, justeru hukuman yang dijatuhkan perlu memberi pengajaran serta mencegah kejadian sama daripada berulang.

Dalam rayuan mitigasi, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Naran Singh memohon maaf dan memohon keampunan daripada Sultan Perak atas perbuatannya.

Beliau turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih ringan dengan mengambil kira keadaan peribadi serta tahap kesihatan mental anak guamnya.

Menurutnya, tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan menghidap skizofrenia, selain pernah menerima rawatan bagi penyakit berkenaan.

Beliau berkata, tertuduh juga merupakan ibu tunggal kepada lima anak, pernah bekerja sebagai pelayan restoran dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan, namun kini menganggur dan bergantung kepada anak-anaknya untuk sara hidup.

Pihak pembelaan turut memaklumkan bahawa tertuduh telah berada dalam tahanan selama 55 hari, termasuk tempoh reman, siasatan dan pemerhatian di hospital.

Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh telah dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk penilaian psikiatri dan disahkan menghidap skizofrenia. 

Bagaimanapun, laporan perubatan mengesahkan beliau berada dalam keadaan mental yang sesuai untuk dibicarakan serta berupaya membuat pengakuan.

Pada 8 September 2025, tertuduh pertama kali dihadapkan ke mahkamah yang sama, namun tiada pengakuan direkodkan ketika itu kerana mahkamah mengarahkan beliau menjalani pemerhatian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Fakta kes menunjukkan bahawa pada hari kejadian, wanita berkenaan yang berpakaian serba hitam telah memanjat pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan sebelum secara tiba-tiba meluru ke arah Sultan Nazrin dan menarik baginda sehingga hampir terjatuh.

Anggota keselamatan segera campur tangan dan menahan tertuduh sebelum satu laporan polis dibuat.

Selepas hukuman dijatuhkan hari ini, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan tertuduh dipulangkan.

Kes ini mendapat perhatian ramai berikutan keadaan luar biasa yang melibatkan isu kesihatan mental serta kesalahan terhadap seorang anggota institusi diraja. - Getaran, 6 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved