IPOH - Wanita yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu, didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin.
Majistret Norizan Riduan membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, ibu tunggal kepada lima anak itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dalam daerah Kinta kira-kira jam 8.20 pagi pada 31 Ogos 2025.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Hari Kebangsaan dan melibatkan serangan terhadap seorang raja pemerintah, justeru hukuman yang dikenakan perlu memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan sedemikian.
Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili Peguam Datuk Naran Singh memohon keampunan daripada Sultan Perak atas ketelanjuran perbuatannya.
**media[3573175]**
Naran Singh yang mewakili tertuduh secara pro bono turut merayu hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakang serta keadaan kesihatan anak guamnya.
Katanya, tertuduh yang telah bercerai sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan, namun kini tidak lagi bekerja dan dijaga oleh anak-anak.
“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia juga mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia serta pernah menerima rawatan sebelum ini,” katanya.
Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira tempoh tahanan selama 55 hari yang telah dilalui tertuduh termasuk tempoh reman, siasatan, tahanan dan pemerhatian di hospital.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM500 dengan wang jaminan dikembalikan kepada tertuduh.
Pada 8 September 2025, tertuduh dihadapkan ke mahkamah sama, namun tiada pengakuan direkodkan ketika itu kerana diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang berpakaian serba hitam telah naik ke pentas acara sebelum secara tiba-tiba berlari ke arah Sultan Nazrin dan menarik baginda sehingga hampir terjatuh.
Pegawai serta anggota keselamatan yang berada di lokasi kemudian bertindak menahan tertuduh sebelum satu laporan polis dibuat.
Tertuduh yang dirujuk ke HBUK telah disahkan menghidap skizofrenia, namun laporan psikiatri mendapati beliau layak dibicarakan serta berupaya memberikan pengakuan.




