
RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar taktik penyeludupan sebuah motosikal jenis Yahama RXZ dari Thailand menggunakan kereta selepas merampas kenderaan tersebut di Kampung To’ Deh di sini, semalam.
Serbuan pukul 5 petang itu dilakukan selepas anggota bertugas mengesan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 dipandu dalam keadaan mencurigakan berhampiran pangkalan haram Tok Mat.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota, pemandu terbabit memecut menghala ke Kampung To’ Deh sebelum meninggalkan kereta berkenaan di dalam semak.
“Pemeriksaan mendapati pemandu melarikan diri manakala sebuah motosikal Yamaha RXZ tanpa nombor pendaftaran ditemukan di bahagian belakang kereta.
Semakan nombor enjin mendapati motosikal tersebut tidak didaftarkan di Malaysia dan disyaki dibawa masuk dari Thailand secara tidak sah melalui pengkalan haram sekitar Rantau Panjang,” katanya hari ini.
Ahmad Radzi berkata, usaha mengesan pemandu terbabit di sekitar lokasi gagal sebelum kedua-dua kenderaan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000 termasuk kereta dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN
The post Guna kereta seludup motosikal RXZ dari Thailand appeared first on Utusan Malaysia.






