Guna pesawat tentera angkut dadah: Juruterbang TUDM dikenal pasti koordinator utama sindiket

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 4:05 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Guna pesawat tentera angkut dadah: Juruterbang TUDM dikenal pasti koordinator utama sindiket

KUALA LUMPUR - Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan dalam operasi khas minggu lalu dikenal pasti berperanan sebagai koordinator serta pengangkut utama bagi sindiket penyeludupan dadah yang menyalahgunakan aset ketenteraan untuk membawa bekalan dari Lembah Klang ke Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan suspek merupakan antara watak penting dalam rangkaian jenayah terancang itu yang mempunyai struktur hierarki tersusun merangkumi ketua sindiket, penyelaras dan pengangkut.

“Selain menjadi koordinator, dia juga bertindak mengangkut bekalan dadah tersebut dari Lembah Klang ke Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insurans Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Menurut Hussein, siasatan awal mendapati bekalan bahan terlarang itu diseludup masuk ke Labuan dan Tawau, namun polis tidak menolak kemungkinan wujud beberapa lagi destinasi sasaran lain di negeri berkenaan.

Setakat ini, seramai 13 individu telah diberkas bagi membantu siasatan membabitkan tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam, manakala polis sedang giat memburu beberapa lagi saki-baki ahli rangkaian sindiket yang telah dikenal pasti.

Mengulas lanjut punca terbongkarnya taktik licik menggunakan pengangkutan tentera itu, Hussein mendedahkan ia berputik daripada risikan kes tangkapan besar-besaran di Sabah membabitkan rampasan enam kontena di Pelabuhan Klang pada Januari lalu yang dipercayai memuatkan dadah untuk dihantar ke Teluk Sepanggar.

“Polis berjaya memperoleh maklumat risikan yang lebih kukuh pada Julai sebelum membuka kertas siasatan dan melakukan pemantauan rapi sehingga membawa kepada serbuan di Pangkalan Udara Subang baru-baru ini,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan penahanan 13 suspek terbabit susulan penemuan dadah yang disembunyikan di dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Taktik penyeludupan yang pertama kali seumpamanya berjaya dipatahkan itu dikesan menerusi prosedur pemeriksaan rutin terhadap kargo sebelum ia dimuatkan ke dalam pesawat TUDM. - 25 November, 2026

The post Guna pesawat tentera angkut dadah: Juruterbang TUDM dikenal pasti koordinator utama sindiket appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved