
KUALA LUMPUR - Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan berhubung penemuan dadah bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang, Selangor, dipercayai memainkan peranan penting dalam kegiatan penyeludupan sindiket terbabit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, juruterbang berkenaan bukan sahaja bertindak menyelaras urusan sindiket, malah turut mengendalikan penghantaran bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan itu membabitkan penghantaran dadah dari Subang ke Labuan dan Tawau, namun, polis tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan turut menggunakan laluan lain.
Katanya, pihaknya masih menyiasat jumlah upah yang diterima juruterbang terbabit serta bayaran kepada anggota sindiket lain.
“Setiap individu dalam sindiket mempunyai tugas tersendiri. Perkara sama turut dikenal pasti dalam kalangan 13 individu yang ditahan setakat ini.
“Juruterbang itu bertanggungjawab menyelaras urusan sindiket selain membawa bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah. Jumlah bayaran yang diterimanya masih dalam siasatan dan belum boleh didedahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van polis di Sungkai, Perak, pada 17 November lalu.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, seramai 13 individu telah ditahan setakat ini, membabitkan tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.
Turut ditahan ialah dua individu dipercayai menjadi penyelaras sindiket berkenaan.
Kesemua suspek diberkas menerusi beberapa operasi di Lembah Klang, Labuan dan Sabah.
Polis juga sedang mengesan beberapa individu lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Selain mengenal pasti rangkaian anggota sindiket, siasatan turut memberi tumpuan kepada kemungkinan aset pengangkutan tentera digunakan dalam penghantaran dadah sebelum ini.
Hussein berkata, pihaknya juga sedang meneliti jumlah perjalanan yang mungkin dilakukan menggunakan aset berkenaan.
“Kami masih menyiasat penglibatan individu lain dan beberapa nama sudah dikenal pasti untuk tindakan lanjut.
“Penggunaan aset ketenteraan, termasuk jumlah perjalanan yang dilakukan, juga sedang diteliti. Berikan masa kepada polis untuk melengkapkan siasatan. Ketua Polis Negara akan memaklumkan hasilnya kemudian,” katanya.
Menurut Hussein, polis mula mengesan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset pengangkutan tentera ke Sabah sejak Januari lalu, susulan rampasan besar membabitkan enam kontena yang dihantar dari Pelabuhan Klang ke Teluk Sepanggar, Sabah.
Siasatan terhadap kes itu kemudian membawa kepada penemuan maklumat mengenai kemungkinan aset ketenteraan turut digunakan bagi tujuan berkenaan.
“Kami memperoleh maklumat kukuh berkaitan penggunaan aset itu pada Julai sebelum membuka kertas siasatan.
“Sejak Januari, risikan telah dijalankan dan kertas siasatan dibuka pada Julai. Polis kemudian meneruskan kerja-kerja pemantauan sebelum operasi terbaharu di Subang dijalankan,” katanya.
Dalam operasi sebelum ini di sekitar Lembah Klang dan Labuan, polis merampas 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta, selain 6.98 kilogram bahan kimia dalam bentuk cecair.
Hussein berkata, siasatan masih diteruskan bagi menentukan sama ada aset ketenteraan pernah digunakan oleh sindiket itu dalam penghantaran dadah sebelum kegiatan berkenaan dikesan di Subang.
Terdahulu, beliau menyampaikan cek replika bayaran insurans di bawah skim insurans berkelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia kepada balu Allahyarham Muhammad Shahrul Aliff, Nor Ilyanie Abd Aziz, di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat. - Getaran, 25 November 2026






