
KUALA LUMPUR - Penggunaan aset ketenteraan, termasuk pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi kegiatan penyeludupan dadah ialah satu bentuk pengkhianatan terhadap negara.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pencerobohan atau penyalahgunaan aset pertahanan negara bukan sahaja mencemarkan integriti institusi keselamatan, malah boleh mengundang ancaman serius terhadap keselamatan negara.
Serentak dengan itu, beliau mengarahkan semua agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi terhadap kegiatan penyeludupan dadah serta dakwaan ketirisan membabitkan aset kerajaan.
“Bagaimana kita boleh membiarkan benteng pertahanan negara diceroboh dan dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?
“Ini merupakan satu pengkhianatan terhadap negara dan bahayanya amat besar,” katanya menerusi satu kenyataan yang menyentuh isu keselamatan sempadan, penyeludupan dadah serta ketirisan dalam kalangan agensi penguatkuasaan.
Menurut beliau, dakwaan kegiatan penyeludupan menggunakan pesawat TUDM bukan perkara baharu dan pernah dibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, kedua-dua menteri berkenaan telah diarahkan untuk memastikan pemantauan rapi dilaksanakan bagi menangani isu tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri memberi jaminan, tindakan undang-undang yang diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google tidak akan menjejaskan pelaburan syarikat teknologi gergasi itu di Malaysia.
Beliau berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Presiden merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Google, Ruth Porat, dalam pertemuan menerusi panggilan telefon semalam.
Menurut Anwar, Ruth turut memberi jaminan bahawa pihak syarikat akan memberikan kerjasama dalam menangani isu yang dibangkitkan.
Beliau menjelaskan antara perkara yang diketengahkan kepada Google ialah kegiatan perjudian dalam talian, namun tiada tindakan diambil selepas enam bulan isu itu dilaporkan.
Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan telah dibangkitkan semula kepada pihak Google dan beliau percaya syarikat itu sedang meneliti serta mengambil langkah sewajarnya.
“Perkara ini tidak akan menjejaskan (pelaburan),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, hari ini.
Pada Rabu lalu, MCMC mengumumkan pemfailan dua saman terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi berjumlah RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan berbahaya di platform YouTube. - Getaran, 27 November 2026






