Penyeludupan dadah guna aset TUDM adalah pengkhianatan keselamatan negara – Anwar

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 4:15 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Penyeludupan dadah guna aset TUDM adalah pengkhianatan keselamatan negara – Anwar

Anwar menyifatkan penyeludupan dadah menggunakan pesawat TUDM sebagai pengkhianatan serius terhadap keselamatan negara dan tegaskan tiada tolak ansur.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kes penyeludupan dadah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai satu bentuk pengkhianatan serius terhadap keselamatan negara yang tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata isu pencerobohan keselamatan sempadan dan ketirisan melibatkan aset strategik kerajaan itu menjadi antara fokus utama dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, susulan pendedahan mengenai kegiatan penyeludupan dadah yang turut melibatkan penerbangan komersial sebelum ini.

Anwar berkata kerajaan memandang berat ancaman jenayah terancang yang disifatkan sudah berakar umbi secara sistemik sejak puluhan tahun lalu dan tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil.

“Mana mungkin kita izinkan benteng pertahanan kita bocor dan bolos begitu oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Ini khianat kepada negara dan bahayanya besar,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah mendapatkan jaminan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar pemantauan rapi dan tindakan tanpa kompromi dilaksanakan segera.

Beliau berkata arahan tegas dikeluarkan kepada semua agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengemukakan laporan menyeluruh.

“Benda ini berlaku dah puluhan tahun dan diizinkan…kadang-kadang bersekongkol dengan kalangan tertentu. Saya faham ini yang menyebabkan sebahagian daripada kita benci. Saya nak bagi tahu sementara saya ada tugas serta tanggungjawab dan amanah, saya tidak akan tolak ansur,” katanya.

Anwar berkata walaupun kerajaan merekodkan jumlah tindakan penguatkuasaan paling banyak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, masalah ketirisan masih berulang dan Jemaah Menteri sebulat suara menyokong usaha pembersihan menyeluruh terhadap gejala tersebut.

Pada 17 Nov lepas, 11 individu terdiri daripada lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.

Polis turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kg bahan kimia dalam operasi berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved