
SANDAKAN: Bahan-bahan dalam koleksi Arkib Negara Malaysia boleh dijadikan sumber pengajaran dan pembelajaran yang bernilai di institusi pendidikan, termasuk melalui Program Arkib @ Sekolah, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata, Arkib Negara menyimpan pelbagai bahan bersejarah yang boleh dijadikan sumber rujukan autentik, khususnya untuk pendidikan di peringkat sekolah.
Sehubungan itu, katanya, Program Arkib @ Sekolah dapat menyediakan platform untuk pelajar mendekati sejarah secara lebih interaktif, kreatif dan bermakna, sekali gus membantu memupuk jati diri yang lebih kukuh dalam kalangan generasi muda Malaysia.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau berkata program ini menggalakkan pelajar untuk belajar, bertanya soalan dan meneroka sejarah negara dengan hati dan minda yang terbuka.
“Program ini adalah antara usaha kami untuk memperkenal semula dan memperkukuh peranan subjek sejarah di peringkat sekolah.
“Memandangkan sejarah adalah subjek teras di sekolah, kami merancang untuk memperluaskan inisiatif ini ke lebih banyak sekolah di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Arkib @ Sekolah di Sekolah Menengah St Mary, di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Aaron Ago turut menyuarakan harapan agar Arkib Negara dapat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperluaskan pelaksanaan Program Arkib @ Sekolah ke seluruh negara.
Sementara itu, Jaafar Sidek berkata agensi berkenaan telah mendigitalkan lebih 11 juta dokumen yang kini boleh diakses secara dalam talian.
“Kami memberi peluang kepada orang awam, termasuk pelajar dan pendidik, untuk mengakses bahan-bahan berharga ini. Mereka boleh melayari laman sesawang rasmi Arkib Negara Malaysia untuk meneroka bahan yang disediakan,” katanya.
Mengulas mengenai Program Arkib @ Sekolah, beliau berkata Arkib Negara turut membantu sekolah mengumpul bahan-bahan sejarah, termasuk majalah sekolah yang boleh dipelihara sebagai sebahagian daripada koleksi arkib.
Katanya, program itu akan diperluaskan ke sekolah-sekolah di Kedah dan Kelantan.


