
KUALA LUMPUR - Deepavali harus digunakan untuk menyemai perpaduan dan menyantuni mereka yang memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perayaan ini juga harus dijadikan batu loncatan untuk memperteguh semangat kekitaan yang menjadi asas kekuatan negara.
“Deepavali tiba dengan penuh keceriaan, membawa bersama semangat Pesta Cahaya, lambang kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan kejahatan, serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, rakyat Malaysia sebagai sebuah bangsa yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, perlu memupuk semangat saling menghormati serta memperkukuh persefahaman antara satu sama lain.

“Moga perayaan Deepavali kali ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar, agar darjat serta harakat rakyat terus terangkat menuju Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera.
“Selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu. Deepavali Nal Vazhtugal!!” katanya.
Sementara itu BERNAMA melaporkan, Deepavali atau Pesta Cahaya disambut meriah di seluruh negara hari ini dengan penganut agama Hindu membanjiri kuil seawal pagi bagi melaksanakan upacara keagamaan dan memanjatkan doa kesejahteraan.
Suasana perayaan turut diserikan dengan kediaman yang dihiasi kolam berwarna-warni, nyalaan pelita serta kunjungan sanak saudara dan sahabat handai daripada pelbagai kaum, sekali gus menzahirkan semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk di
Malaysia.
Tinjauan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini mendapati ribuan penganut Hindu membanjiri kuil berkenaan seawal 6 pagi bagi menunaikan upacara keagamaan dengan membawa persembahan seperti buah-buahan dan bunga kepada dewa-dewi sebagai tanda kesyukuran. - Getaran, 20 Oktober 2025

