
JAKARTA - Gunung Ili Lewotolok di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, kembali meletus hari ini, memuntahkan abu gunung berapi setinggi 400 meter ke udara.
Susulan letusan, pihak berkuasa memperhebat amaran keselamatan serta menggesa orang ramai supaya menjauhi kawasan sekitar gunung berapi berkenaan.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan letusan tersebut direkodkan seismograf dengan amplitud maksimum 40 milimeter selama 40 saat.
Penduduk, pengunjung, pendaki serta pelancong dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak memasuki kawasan dalam radius dua kilometer dari pusat aktiviti Gunung Ili Lewotolok.
Kawasan larangan itu turut diperluaskan sehingga tiga kilometer di sektor selatan dan tenggara gunung berkenaan.
Gunung Ili Lewotolok dilaporkan meletus beberapa kali kebelakangan ini, dengan letusan terbaharu sebelum ini direkodkan pada Selasa.
PVMBG turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku aliran lava, jatuhan batu serta awan panas di sektor selatan, tenggara, barat dan timur laut gunung berapi itu.
Penduduk di kawasan sekitar turut dinasihatkan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada pendedahan kepada abu gunung berapi.
Dalam perkembangan berkaitan, Gunung Anak Krakatau dan Gunung Semeru juga dilaporkan semakin aktif hari ini, dengan kedua-duanya menghasilkan abu gunung berapi yang dikesan di beberapa kawasan. - Getaran, 6 September 2026



