Guru bawa pulang hadiah utama kereta bernilai RM120,000

LocalCars
29 May 2026 • 11:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guru bawa pulang hadiah utama kereta bernilai RM120,000
Azira (kanan) ketika diumumkan pemenang hadiah utama sempena sambutan ulangtahun ke-10 Aman Central pada Jumaat.

ALOR SETAR - Seorang guru dari sebuah sekolah di Pendang tidak menyangka berjaya membawa pulang hadiah utama sebuah kereta jenis MG S5 EV bernilai RM120,000 sempena sambutan ulangtahun ke-10 Aman Central di sini, pada Jumaat.

Azira Ahmad, 50, berkata, permintaan agar suami dan anak-anak berdoa sebelum keluar dari rumah, akhirnya termakbul.

"Sebelum keluar rumah tadi saya minta suami dan anak-anak doakan saya bawa pulang kereta hari ini...tak sangka dalam suasana masih menyambut Hari Raya Aidiladha, ALLAH makbulkan doa kami," katanya.

Bagaimanapun, jelas Azira, kenderaan itu akan dihadiahkan buat suami, Mustaffa Said, 57, yang telah tiga tahun mengidamkan kenderaan baharu.

"Sebelum ini, suami memang dah rancang nak beli kereta baharu...hampir 10 buah dah cuba dalam tempoh tiga tahun ini, tapi belum kesempatan, hari ini, memang rezeki kami," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Aman Central, Azamuddin Mansor berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Auto Gallery Cartrade Sdn Bhd atas sokongan dan kerjasama berterusan sepanjang sembilan tahun berturut-turut sejak tahun kedua pembukaannya.

Menurutnya, kerjasama jangka panjang tersebut menjadi bukti komitmen terus kukuh dan diperkasa pada masa hadapan.

"Hadiah keseluruhan bernilai lebih RM182,352 kita tawarkan kepada pelanggan sebagai tanda penghargaan termasuk hadiah utama berupa sebuah kereta jenis MG S5 EV," katanya.

Majlis penyerahan disempurnakan Pengarah Urusan Belleview Group, Datuk Seri Sonny Ho.