SHAH ALAM – Seorang guru sebuah sekolah di Subang tidak menyangka hadiah Hari Guru yang diterimanya daripada seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua menjadi momen paling menyentuh hati sepanjang bergelar pendidik.
Nurul Hafizah Mohamad Ramli, 34, berkata, pelajar tersebut merupakan penghuni rumah amal yang menempatkan anak-anak daripada keluarga bermasalah termasuk ibu bapa dipenjarakan.
“Pelajar ini tinggal di rumah amal bersama adiknya kerana kedua-dua ibu bapanya berada di penjara.
“Dia sebenarnya sangat pendiam dan tahap keyakinan diri sangat rendah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Nurul Hafizah, dia sering menegur dan mengejar pelajar tersebut supaya menghantar tugasan sekolah kerana mahu melihat pelajar itu berjaya.
“Saya memang selalu marah dia sebab dia jenis yang susah nak siapkan kerja sekolah. Banyak kali juga kena ‘warning’,” ujarnya.
Namun, beliau tidak menyangka pelajar berkenaan sanggup memberikan hadiah sempena Hari Guru meskipun hidup dalam serba kekurangan.
Katanya, hadiah tersebut diletakkan di atas meja di biliknya ketika dia sedang mengajar.
“Masa buka hadiah itu saya terus sedih sebab tahu kotak itu dikitar semula.
“Dalamnya pula barangan jenama Petronas, mungkin daripada hamper raya. Saya terus terfikir dari mana dia dapat duit sebab saya tahu dia bukan orang senang.
“Saya selalu pesan kalau nak bagi hadiah, buat kad pun cukup. Tak perlu beli mahal-mahal sebab saya tahu ramai pelajar nak juga bagi hadiah macam kawan-kawan lain,” katanya.
Perkongsian kisah berkenaan sebelum ini tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai yang tersentuh dengan keikhlasan pelajar terbabit serta kasih sayang seorang guru terhadap anak muridnya.
