
Tuaran: Seorang guru cedera manakala pemandu sebuah treler dengan muatan tong gas petroleum cecair (LPG) nyaris maut apabila kenderaannya terjunam ke dalam gaung setinggi 30 meter selepas merempuh dua kenderaan lain di Kampung Simpangan Lama, Tamparuli di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa yang juga masing-masing pemandu kenderaan terlibat kemalangan dilaporkan selamat.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Isuzu D-Max dan sebuah kereta Proton X70.
“Bagaimanapun, rempuhan kenderaan kedua itu mengakibatkan treler terjunam ke dalam gaung sejauh 30 meter manakala kereta Proton X70 tersangkut pada batang pokok berhampiran gaung”.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Proton X70 iaitu seorang guru wanita berusia 48 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, Rabu.
Menurutnya, pemandu treler berusia 46 tahun dan pemandu Isuzu D-Max, 49, tidak cedera.
“Ketiga-tiga pemandu tidak disyaki mabuk manakala kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) LN 166/59”.
Saksi kemalangan ini boleh menyalurkan maklumat kepada Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Sarjan Jafri @ Awang Ali Jaoar di talian 012-8193015 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berhemah ketika di jalan raya.


