Lelaki maut pacuan empat roda dirempuh treler

31 Mar 2025 • 2:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam pacuan empat roda selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Minangkop, Tamparuli, Tuaran.

TUARAN - Seorang lelaki maut selepas pacuan empat dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Kampung Minangkop, Tamparuli, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun parah akibat tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.27 pagi.

"Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu treler yang merempuh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux lalu terlanggar tiang elektrik.

"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa tersepit dengan bantuan daripada trak tunda dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi membabitkan seramai sembilan anggota ditamatkan jam 1.20 tengah hari," katanya.