
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang guru dilaporkan melecur kira-kira 50% di bahagian muka dan tangan akibat letupan tong gas di dapur rumah sewanya sekitar Taman Baiduri, Kuala Ina di Alor Gajah, Melaka semalam (3 Jun).
Mohamad Edham Zul, 29, yang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor Shah, Tampin, telah terdengar bunyi mencurigakan di dalam rumah berkenaan kira-kira jam 10.26 pagi.
Letupan Berlaku Ketika Mangsa Sedang Periksa Bunyi Mencurigakan Di Dapur
Jelas Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, mangsa pada ketika itu baru sahaja pulang dari kampung di Pahang sebelum menyedari terdapat bunyi tersebut.
Memetik Harian Metro, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, mangsa sedang melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca bunyi didengarinya.
Mangsa Melecur 50% Pada Muka & Tangan
Namun satu letupan berlaku secara tiba-tiba hingga menyebabkan mangsa mengalami kesan melecur dianggarkan 50% pada beberapa anggota badan termasuk bahagian muka dan tangan.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan. Setakat ini, pemeriksaan serta pemantauan risiko kebocoran gas susulan telah dilaksanakan, termasuk mendapatkan bantuan agensi berkaitan bagi memastikan keadaan selamat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid.

Bumbung Rumah Alami Kerosakan Serius Akibat Letupan Tong Gas
Sementara itu, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati letupan itu menyebabkan kerosakan serius pada bahagian bumbung rumah.
Bukan itu sahaja, struktur bangunan termasuk pintu dan tingkap juga terjejas selain kesan jelaga serta haba di sekitar kawasan dapur akibat letupan terbabit.
Kebocoran Gas LPG Disyaki Punca Letupan
Memetik MalaysiaGazette, operasi pemantauan dan pemeriksaan keselamatan telah dijalankan pihak bomba bagi memastikan tiada risiko susulan kepada penghuni atau kawasan sekitar.
“Siasatan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada kebocoran gas LPG (Liquefied Petroleum Gas) yang terkumpul di dalam rumah sebelum berlaku letupan ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya.
Keadaan Mangsa Stabil, Namun Akan Jalani Pembedahan Kulit
Berbicara mengenai keadaan mangsa, kakak mangsa, Nurul Atiqah, 31, berkata adik bongsunya kini stabil, namun akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Hospital Kuala Pilah bagi menjalani pembedahan kulit susulan kecederaan berkenaan.


