
SUNGAI PETANI – Satu perkongsian di Threads mengejutkan ramai apabila seorang pengguna, @nralysf_, berkongsi detik cemas ketika insiden letupan tong gas yang berlaku di tapak ekspo berhampiran Dataran Jam Besar, Sungai Petani.
Menurut pemilik akaun itu, ketika kejadian berlaku mereka bersama ahli keluarga sedang melakukan penggambaran produk makanan sebelum dikejutkan dengan satu letupan kuat.
“Adik kami tengah dok shoot produk baru ayam susu cheese tetiba meletup. Alhamdulillah Allah masih lindungi adik-adik kami dan anaknya. Syukur Ya Allah. Yang meninggal tu betul-betul di belakang dia.”
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang cuba memahami punca sebenar kejadian.
Ada yang bertanya sama ada ia berlaku disebabkan keadaan tertutup, suhu terlalu panas atau tekanan dalam tong.
Namun pemilik hantaran memaklumkan lokasi kejadian berada di kawasan terbuka dan turut menyebut kemungkinan ia melibatkan gas untuk belon.
“Open space. Gas helium ke apa tah yang belon budak-budak tu.”
“Doakan Abang Saya…” – Keluarga Dan Netizen Kongsi Trauma Selepas Kejadian
Di ruangan komen, seorang lagi individu iaitu @nazmeasma turut berkongsi bahawa abangnya masih trauma kerana pekerjanya menjadi mangsa dalam kejadian itu.

“Doakan abg sy jugak. Masih trauma. Termenung dari semalam tak makan. Pekerja dia yang meninggal tu.”
Pemilik hantaran kemudian membalas dengan meluahkan rasa sedih kerana kejadian berlaku di depan mata.
“Ya Allah sedihnya. Berlaku depan mata kan.”
Dalam masa sama, ada netizen mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli belon gas.
Malah timbul juga perbincangan mengenai jenis gas yang digunakan kerana menurut beberapa pengguna, gas helium secara teori merupakan gas lengai dan tidak mudah terbakar, berbeza dengan gas hidrogen yang lebih murah serta mudah bertindak balas jika berlaku percikan api.
Bagaimanapun, pemilik hantaran menegaskan mereka tidak mengetahui kandungan sebenar dalam tong berkenaan dan memilih untuk menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.
“Ya Allah. Tula tunggu siasatan polis. Kita pun tak tau di dalam tong tu, gas apa sebenarnya depa guna.”
Bomba Sahkan Letupan Libatkan Tong Gas Digunakan Untuk Isi Belon
Terdahulu, media melaporkan insiden berkenaan meragut nyawa seorang lelaki di tapak ekspo berhampiran Dataran Jam Besar, Sungai Petani.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba II Siti Norafiza Mohd Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 sebelum anggota bergegas ke lokasi.
Komander operasi yang tiba sekitar jam 8.05 malam mengesahkan berlaku letupan melibatkan satu unit tong gas yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bagi tujuan perniagaan.
Insiden itu menyebabkan seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 46 tahun mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – The Malaysian Update
The post “Kami Tengah Shoot Produk Ayam Susu Cheese…” – Saksi Kongsi Detik Cemas Letupan Tong Gas Di Sungai Petani, Seorang Maut appeared first on The Malaysian Update.
