Guru dikhuatiri lemas selepas terjatuh Sungai Pahang ketika memancing

24 Nov 2024 • 10:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba yang terlibat dalam operasi SAR dekat Jeti Chenor, Maran pada Ahad. Foto JBPM

image is not available
Antara anggota yang terlibat dalam SAR mangsa di lokasi kejadian. Foto JBPM

MARAN - Seorang guru lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang berhampiran jeti Chenor ketika memancing pada Ahad.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 petang.

Menurutnya, 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama empat jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bukit Angin telah diminta bersedia untuk hadir ke lokasi kejadian.

"Komander operasi turut melaporkan membuat kerja-kerja pencarian di permukaan di lokasi dengan menggunakan bot bomba dan bantuan bot orang awam," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Maran melaporkan, mangsa dikenali sebagai Murdani Ab Rahman, 53, yang juga seorang guru disedari terjatuh ke dalam sungai oleh orang awam.