Guru kempunan Harumanis, rugi hampir RM10,000 ditipu sindiket

LocalSales & Promo
26 Apr 2025 • 11:24 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA TERENGGANU, 26 APRIL: Seorang guru bukan sahaja kempunan merasa keenakan mangga Harumanis, malah berputih mata selepas wang simpanan RM9,998.52 lesap ditipu sindiket pembelian dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada Rabu lalu, mangsa iaitu wanita berusia 46 tahun melihat iklan penjualan harumanis menerusi media sosial.

Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan iklan itu menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan mangsa diminta memuat turun satu aplikasi bagi membuat tempahan buah berkenaan.

“Setelah mengisi semua maklumat diri, mangsa menerima kod respons pantas (QR) bagi tempahan itu dan diminta menghantar kepada suspek.

“Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui panggilan telefon menyebabkan telefon bimbitnya terpadam dengan tiba-tiba sebelum aktif semula beberapa minit selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Azli berkata pada keesokan hari mangsa mendapati wang simpanan sebanyak RM9,998.51 dalam akaun Tabung Haji lesap.

Setelah disemak, mangsa mendapati berlaku dua transaksi wang dari akaun Tabung Haji ke akaun bank miliknya sebelum dipindahkan ke satu akaun bank lain yang tidak dikenali.

“Mangsa membuat laporan pada 6.35 pagi Khamis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved