Guru Berputih Mata, RM10,000 Lesap Selepas Terpedaya Iklan Harumanis Palsu

LocalPersonal Finance
26 Apr 2025 • 2:04 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Hasrat seorang guru wanita untuk menikmati mangga harumanis bertukar tragedi apabila wang simpanannya hampir RM10,000 lesap selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.

Mangsa berusia 46 tahun itu dikatakan tertarik dengan satu iklan penjualan harumanis yang dimuat naik di media sosial.

Kemudiannya, guru tersebut difahamkan berhubung dengan individu disyaki suspek menerusi WhatsApp.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, suspek kemudian mengarahkan mangsa memuat turun sebuah aplikasi kononnya bagi tujuan membuat tempahan.

“Mangsa turut diminta mengisi maklumat peribadi serta menyerahkan kod respons pantas (QR) kepada suspek.

“Tidak lama kemudian, telefon bimbit mangsa tiba-tiba terpadam sebelum aktif semula,” katanya dalam kenyataan.

image is not available
Gambar hiasan

Bagaimanapun, keesokan harinya mangsa menyedari wang simpanan berjumlah RM9,998.52 di dalam akaun Tabung Haji telah dipindahkan ke akaun tidak dikenali.

Semakan mendapati dua transaksi luar biasa berlaku, di mana wang dari akaun Tabung Haji dipindahkan ke akaun bank mangsa sendiri sebelum dilencongkan ke akaun lain.

Mangsa segera membuat laporan polis seawal jam 6.35 pagi pada Khamis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.