
Kota Kinabalu: Audit keselamatan di semua sekolah menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan keselamatan pelajar terus terjamin.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata ia merupakan antara Prosuder Operasi Standard (SoP) kementerian untuk dilaksanakan setiap Jabatan Pendidikan Negeri.
“Tahun ini KPM telah memastikan supaya audit keselamatan mesti dilaksanakan setiap JPN secara berterusan sebagai salah satu usaha mempertingkatkan kebajikan dan keselamatan pelajar di sekolah.
“Pada masa sama, ia meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka semasa berada di sekolah,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Sabah, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (sementara) Datuk Dr Ariffin Arif dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim.
Raisin menambah banyak usaha telah dibuat agar SoP itu sentiasa dipatuhi antaranya melaksanakan rondaan khususnya di sekolah-sekolah berasrama.
“Tindakan ini bukan bererti tiada rondaan dilaksanakan sebelum ini tetapi usaha berkenaan diperkasakan lagi supaya keselamatan semua pelajar terpelihara.
“Kita juga akan menyemak dari semasa ke semasa keberkesanan SoP itu terutamanya aspek keselamatan untuk penambahbaikan apabila ia dilaksanakan di peringkat sekolah,” katanya.
Ketika ditanya sekiranya ada peningkatan laporan ibu bapa mengenai kes buli tahun ini, Raisin berkata setakat ini keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan di sekolah meningkat.
Katanya, ia susulan usaha JPNS dalam memastikan keselamatan murid dan pelajar di sekolah terus terjamin dan selamat.
“Kita tidak nafikan ada kes-kes terpencil yang berlaku tetapi kita dengan segera membuat tindakan bagi memastikan ia ditangani dengan sebaiknya mungkin.
“Antara inisiatif kita adalah audit keselamatan yang telah ditetapkan di bawah SoP KPM ini,” tegasnya.


