
KOTA MARUDU: Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping 2, Hilton Soibik, 32, meninggal dunia pada 9.24 pagi Isnin selepas hampir 20 jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya di Jalan Mangaris 2 di sini, Ahad lepas.
Pemergian Hilton, yang juga bekas pengadil bola sepak kebangsaan, turut mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya.
Menurut FAM, Hilton terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk mengadili perlawanan domestik Piala Parlimen YB Munirah 2026 di Kota Belud.
Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Isnaraissah Munirah Majilis turut menzahirkan rasa terkejut dan dukacita atas berita pemergian Allahyarham menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Supt Simiun Lomudin berkata, kemalangan kira-kira 2 petang Ahad itu membabitkan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu mangsa dan sebuah lori tangki Scania.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori tangki itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu, manakala Toyota Hilux dipandu mangsa dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi kejadian, Toyota Hilux yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mendaki bukit di selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Simiun berkata, mangsa mengalami kecederaan parah, termasuk patah kaki kanan, tangan kanan dan bahu kanan, selain kecederaan pada bahagian perut dan kepala.
Mangsa dikeluarkan dari kenderaan oleh anggota bomba sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu lori tangki tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima makluman pada 11.38 pagi Isnin daripada AIO Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kota Marudu SM Juinis menerusi WhatsApp bahawa Hilton disahkan meninggal dunia pada 9.24 pagi di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth I oleh pegawai perubatan.
Susulan kematian mangsa, kes itu diklasifikasikan semula dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
