
ARAU: “Cikgu lapar, nak roti!,” permintaan dari seorang pelajar kurang berkemampuan ini menyebabkan seorang guru kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Arau, Effa Khairunisah Othman bersama guru-guru lain mengambil inisiatif menyediakan roti potong kepada pelajar yang kebanyakan terdiri daripada anak petani.
Effa Khairunisah, 45, berkata pada awalnya beliau dan guru-guru lain menyediakan roti dan alat pembakar roti berserta jem di bilik kaunseling setelah mengetahui ramai pelajar mengikat perut dan tidak menjamah makan tengah hari kerana tidak berkemampuan.
“Pelajar hanya duduk di bangku hadapan bilik kaunseling setiap kali waktu rehat kerana tidak mampu membeli makanan dan ada yang bergurau minta roti dari saya.
“Dari saat itulah saya mendapat idea menyediakan roti dan hasil sumbangan guru-guru lain, kami menyediakan roti potong secara percuma kepada pelajar bermula November lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Effa Khairunisah yang sudah 10 tahun berkhidmat di sekolah itu, setiap hari para guru sama-sama mengutip sumbangan dan membelanjakan RM50 untuk membeli enam buku roti, jem dan kaya untuk sarapan kira-kira 50 pelajar.
Katanya beliau berhasrat untuk menyediakan ruang makan seumpama ‘Coffee Conner’ di ruang terbuka khusus bagi membolehkan pelajar makan dan membacuh minuman mereka sendiri sebelum mengikuti pembelajaran.
Pengetua sekolah Norma Md Nor, 56, berkata selain guru, ibu bapa pelajar turut menyumbang wang bagi menjayakan usaha murni ini kerana ramai pelajar dan anak asnaf daripada keluarga B40 ke sekolah tanpa sarapan terlebih dahulu, dan usaha ini dapat memastikan pelajar memberi fokus ketika mengikuti sesi pembelajaran.
“Pada awalnya ada pelajar yang malu, namun kini mereka tidak lagi segan untuk membakar sendiri roti di ruang yang disediakan,” katanya.
Norma berkata sepanjang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini, selain roti bakar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga menyumbangkan makanan tengah hari kepada calon SPM.
“Usaha ini agar pelajar tidak perlu keluar sekolah pada waktu rehat dan memberi fokus kepada peperiksaan,” katanya menambah pihak sekolah dan PIBG bercadangkan untuk memperluaskan lagi konsep Coffee Conner ini dengan menyediakan lebih banyak pembakar roti.
Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Naharuddin Othman berkata pihaknya menyahut baik inisiatif pihak sekolah dan PIBG atas usaha mereka menyediakan makanan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
“Ini merupakan satu usaha yang baik, namun makanan yang disediakan perlu diambil dari pengusaha kantin dan bukan dari luar bagi menjaga kualiti dan kebersihan makanan,” katanya. -Bernama

