KUALA LUMPUR - Seorang guru tuisyen didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap tiga murid lelaki di ibu negara, baru-baru ini.
M D Sebastian, 46, yang juga guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Azrul Darus dan Muhammad Ilmami Ahmad.
Sebastian didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga murid lelaki berusia 11 tahun di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Jalan Puchong di sini antara Julai dan September lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga berhadapan dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang mangsa di lokasi sama antara 5.30 dan 6 petang pada 18 dan 30 September, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap bulan hingga kes selesai manakala sebutan semula kes pada 23 November dan 18 Disember.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suloshani Vijendran dan Mohamad Ikhwan Mohd Nasir manakala Sebastian diwakili peguam Mansheel Kaur serta Harvind Singh.
Pada 16 Oktober, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan penahanan seorang lelaki pada 10 Oktober bagi membantu siasatan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima murid lelaki yang didakwa berlaku di rumah suspek yang dijadikan sebagai pusat tuisyen.
Pada kes berasingan di hadapan Hakim Azrul seorang buruh Indonesia, Mohammad Habit, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam surau perempuan di parkir bertingkat di Sentul antara 6.30 petang hingga 7 malam 4 Oktober dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) akta sama.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap Mohammad Habit dan menetapkan 23 November untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Suloshani manakala lelaki itu diwakili peguam Tharamjit Singh.






