Pelakon Ruhainies meluahkan rasa terkilan apabila nama pemberian ibu bapanya dipersendakan menjadi gelaran berunsur penghinaan, ‘Ruhanat’, oleh segelintir pengguna media sosial.

Foto: Utusan Malaysia
Memetik laporan Berita Harian, Ruhainies, 34, berkata, panggilan yang didakwa berlarutan sejak tiga tahun lalu itu memberikan kesan terhadap emosinya, lebih-lebih lagi apabila pengguna lain turut mengikutinya.
“Mereka mengubah nama saya kepada gelaran ‘Ruhanat’. Ibu bapa saya memberikan nama yang baik dan mempunyai maksud yang baik.
“Saya belum mengenal pasti siapa yang memulakan gelaran itu, tetapi netizen lain terus mengikutinya sehingga kini. Perkara ini sudah berlarutan selama tiga tahun,” katanya.
Beliau berkongsi perkara tersebut dalam sidang media bersama wakil peguamnya berhubung tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa memfitnahnya.
Menurut Ruhainies, terdapat pihak yang didakwa menggunakan namanya untuk menarik perhatian pengguna media sosial bagi tujuan perniagaan tanpa mengambil kira kesan terhadap individu yang menjadi sasaran.
“Sesetengah pihak menggunakan nama saya sebagai ‘clickbait’ atau ‘rage bait’ untuk meningkatkan capaian akaun mereka bagi menjual produk atau mempromosikan pautan perniagaan.
“Tolonglah fikirkan kesan terhadap emosi mangsa fitnah dan hormatilah hukum-hakam,” ujarnya.
Di sebalik pengalaman itu, Ruhainies berkata, beliau memilih untuk menerima ujian berkenaan dengan reda serta menjadikannya ruang untuk memperbaiki diri.
“Setiap dugaan ada hikmahnya. Sepanjang 34 tahun hidup, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Saya reda dengan ujian ini dan menganggapnya sebagai proses pembelajaran hidup.
“Selepas ujian ini, banyak rezeki dan kehadiran orang baik datang dalam hidup saya. Saya tidak mahu mengenangkan perkara lalu, sebaliknya mahu fokus pada masa depan serta memperbaiki diri.
“Hikmah terbesar daripada ujian ini adalah saya dapat mendekatkan diri kepada Allah, menjadi lebih matang dan menghargai orang sekeliling,” tambahnya lagi.
Bagi mengendalikan tindakan undang-undang tersebut, Ruhainies melantik Mohd Haizal Ayop daripada EzriLaw Firm dan Fakhrul Azman Abu Hasan daripada Azainie & Fakhrul.
Tindakan itu membabitkan tiga individu yang dikenal pasti berhubung kandungan yang didakwa memfitnahnya.
Notis tuntutan (LOD) sudah diserahkan kepada ketiga-tiga individu berkenaan dengan tuntutan supaya mereka menurunkan atau memadamkan kandungan terbabit serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari yang diberikan.
Sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi, pihak Ruhainies akan meneruskan saman sivil dengan menuntut ganti rugi RM3 juta daripada setiap individu berkenaan.
Sumber: Berita Harian (Affan Rostam)






