GWM Malaysia catat pertumbuhan 177% pada 2025, perkukuh kedudukan dalam pasaran kenderaan hibrid

LocalCars
13 Jan 2026 • 3:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GWM Malaysia catat pertumbuhan 177% pada 2025, perkukuh kedudukan dalam pasaran kenderaan hibrid image is not available haziq13/01/2026 - 15:56 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Jan – GWM Malaysia mencatatkan prestasi komersial yang memberangsangkan dengan pertumbuhan kira-kira 177% tahun ke tahun (YoY) pada 2025.

 

Prestasi kukuh itu didorong terutamanya segmen kenderaan hibrid apabila menduduki tempat ketiga dalam pasaran hibrid tempatan dengan 15.5% pegangan pasaran pada 2025.

 

Model GWM Haval H6 HEV kekal sebagai penyumbang utama, muncul antara kenderaan hibrid paling laris di Malaysia dengan kedudukan kedua dan 14.9% pegangan pasaran dalam kalangan HEV sepanjang tahun berkenaan.

 

Gabungan kecekapan bahan api, kepraktisan harian dan teknologi hibrid termaju menjadikan Haval H6 HEV pilihan utama pengguna tempatan, sekali gus menyokong momentum jualan berterusan GWM Malaysia sepanjang 2025.

 

Menurut Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, prestasi tersebut mencerminkan peralihan jelas ke arah kenderaan hibrid yang menawarkan keseimbangan antara kecekapan, prestasi dan kebolehgunaan.

 

“Di teras kejayaan ini ialah GWM Haval H6 HEV, yang membuktikan rakyat Malaysia bersedia menerima penyelesaian hibrid yang cekap, praktikal dan menyeluruh. Syarikat berasa terdorong dengan momentum ini dan akan terus memberi tumpuan kepada produk yang memenuhi keperluan dunia sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, portfolio GWM Malaysia akan terus diperkukuh dengan pelancaran WEY G9 MPV Mewah Pintar yang dijadualkan pada akhir Januari 2026, menandakan langkah seterusnya syarikat dalam segmen mobiliti premium dan pintar.

 

Seiring dengan prestasi tempatan, GWM Malaysia turut menyediakan asas bagi fasa seterusnya perjalanan hibridnya melalui Hi4, seni bina hibrid generasi baharu GWM.

 

Menurut syarikat itu, Hi4 bukan sekadar peningkatan teknologi, sebaliknya mencerminkan hala tuju jangka panjang yang mengintegrasikan kecekapan, prestasi dan pengurusan tenaga pintar dalam satu ekosistem hibrid menyeluruh.

 

Selain Haval H6 HEV, GWM Malaysia mengekalkan portfolio pelbagai pada 2025 dengan penawaran merangkumi segmen elektrik dan gaya hidup lasak, di samping inisiatif pembinaan jenama bagi meningkatkan kesedaran dan kepercayaan pengguna tempatan.

 

Di peringkat global, prestasi GWM pada 2025 turut mengukuhkan kredibiliti jenama itu di Malaysia. 

 

Secara keseluruhan, GWM mencatat jualan rekod 1,323,672 kenderaan, meningkat 7.33% tahun ke tahun, dengan penghantaran luar negara sebanyak 506,066 unit, naik 11.68% berbanding 2024. 

 

Jualan kenderaan tenaga baharu (NEV) mencecah 403,653 unit, meningkat 25.44%, manakala pada Disember sahaja, sebanyak 124,020 kenderaan dijual di seluruh dunia.

 

Menurut Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, pencapaian 2025 menjadi asas kukuh untuk pertumbuhan mampan pada 2026.

 

“Prestasi kami pada 2025 mencerminkan keyakinan pengguna Malaysia terhadap GWM sebagai sebuah jenama. Melangkah ke 2026, fokus syarikat adalah untuk terus membina momentum ini, mengukuhkan kepimpinan hibrid dan menyampaikan nilai bermakna kepada pelanggan,” katanya.

 

Beliau berkata, GWM Malaysia komited untuk berkembang seiring pasaran dan menyumbang secara positif kepada landskap mobiliti negara yang semakin berkembang. - DagangNews.com

Terkini standard