AGIBOT lancar inisiatif strategik Asia-Pasifik perkukuh kedudukan peneraju robot humanoid global

LocalTechnology
13 Jan 2026 • 2:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AGIBOT lancar inisiatif strategik Asia-Pasifik perkukuh kedudukan peneraju robot humanoid global image is not available haziq13/01/2026 - 14:39 AGIBOT lancar inisiatif strategik Asia-Pasifik perkukuh kedudukan peneraju robot humanoid global. - Foto Haziq Hakimi/ DagangNews Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Jan – AGIBOT, syarikat robotik tempatan yang memfokuskan kepada kecerdasan terjelma, melancarkan satu siri inisiatif strategik di rantau Asia-Pasifik bagi tahun ini.

 

Diasaskan pada 2023, AGIBOT membawa aspirasi selari dengan namanya iaitu membangunkan robot untuk era AGI, dengan penekanan kepada keupayaan pembelajaran, adaptasi dan aplikasi dunia sebenar.

 

Sepanjang tahun lalu, AGIBOT mencapai beberapa pencapaian penting yang mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang robot humanoid dan kecerdasan terjelma, termasuk pelancaran humanoid ke-5,168 yang dihasilkan secara besar-besaran, membuktikan keupayaan pembuatan bertaraf industri serta kesediaan komersial berskala besar.

 

Menurut laporan Robot Pintar Berjelmaan Serbaguna Omdia 2026, AGIBOT menduduki tempat pertama di peringkat global dari segi penghantaran dan pegangan pasaran robot humanoid pada 2025, dengan lebih 5,100 unit dihantar dan 39% pegangan pasaran global.

 

Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif AGIBOT, Deng Taihua berkata, AGIBOT mencatat kemajuan ketara dalam meningkatkan pengeluaran besar-besaran serta penggunaan praktikal robotik terjelma sepanjang tahun lalu. 

 

“Pencapaian itu dimuktamadkan pada penghujung tahun lalu apabila syarikat melancarkan robot humanoid ke-5,000 yang dihasilkan secara besar-besaran, sekali gus meletakkan AGIBOT pada kedudukan kukuh memasuki 2026,” katanya.

 

Beliau berkata, pelancaran AGIBOT di Malaysia mencerminkan komitmen syarikat untuk membawa pengeluaran berskala besar dan penggunaan praktikal robotik terjelma kepada pelanggan di rantau ini.

 

image is not available

Produk AGIBOT

 

Inisiatif itu diperkukuh melalui penubuhan Pusat Pengalaman Dunia AI & Robotik di i-City menerusi kerjasama strategik dengan I-Berhad, syarikat pelaburan dan pembangunan hartanah serta pemaju utama i-City. 

 

Menerusi kerjasama tersebut, teknologi robotik bertaraf dunia dan kecerdasan terjelma AGIBOT diterapkan merentasi sektor hartanah, hospitaliti, pelancongan dan kehidupan bandar harian di i-City.

 

Pada masa sama, kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan jangka hayat manusia, dengan aplikasi AI dan robotik bukan sahaja untuk produktiviti dan automasi, tetapi juga bagi pengoptimuman kesihatan dan kualiti hidup. AI World merupakan fasa pertama kepada kerjasama jangka panjang antara AGIBOT dan I-Berhad.

 

Presiden Asia-Pasifik & Timur Tengah AGIBOT, Abel Deng berkata, pembinaan dan pelancaran pusat pengalaman pertama seumpamanya di Malaysia menandakan penutup fasa awal kerjasama dengan i-City, dengan perancangan pembangunan lanjut pada tahun akan datang. 

 

Menurutnya, pelancaran itu juga merupakan yang pertama daripada beberapa inisiatif strategik yang akan dilaksanakan AGIBOT di Asia-Pasifik sepanjang 2026 dan seterusnya.

 

Beliau berkata, AGIBOT bersama rakan serantau akan mempercepat pembangunan ekosistem robotik terjelma di Asia-Pasifik serta melaksanakan penyelesaian robotik merentasi lebih banyak senario komersial tertutup. - DagangNews.com

Terkini standard