GXBank lantik Lai Pei-Si sebagai CEO baharu GXS Singapura berkuatkuasa 1 Jun 2025

14/05/2025 - 15:50
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 14 Mei - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GXBank, Lai Pei-Si dilantik sebagai CEO Kumpulan GXS Bank di Singapura, berkuat kuasa 1 Jun ini bagi menggantikan Muthukrishnan Ramaswami yang akan bersara pada 31 Mei 2025.
GXS Bank berkata, Muthukrishnan akan terus berkhidmat sebagai Penasihat Kanan kepada Kumpulan GXS selepas persaraannya.
Jawatan CEO GXBank yang merupakan anak syarikat GXS Bank di Malaysia akan diisi oleh Timbalan CEO sedia ada, Kaushik Chowdhury.
Pei-Si menyertai GXBank sejak 2022 dan memainkan peranan utama dalam pelancaran serta pertumbuhan pesat bank digital itu yang kini mempunyai lebih sejuta pelanggan. Beliau turut menerajui pengambilalihan Validus Capital oleh GXS Bank.
Muthukrishnan yang menyertai GXS Bank pada 2023 telah membangunkan infrastruktur teknologi dan produk peringkat serantau bagi menyokong pelancaran operasi di Malaysia, Singapura, dan Indonesia.
Pengerusi GXS Bank, Hsieh Fu Hua berkata, mereka amat berterima kasih kepada Muthukrishnan atas sumbangannya dalam membina keupayaan serantau yang membolehkan kumpulan bank digital kami berkembang pantas.
"Beliau juga meninggalkan kami dengan barisan kepimpinan yang kukuh untuk masa depan.
"Kami berbesar hati melantik Pei-Si sebagai pengganti beliau. Sebagai seorang veteran yang berpengalaman melancarkan bank digital pertama Malaysia, Pei-Si memahami potensi besar bank digital terhadap komuniti serantau.
"Kami memberikan sokongan penuh kepada beliau untuk menerajui aspirasi GXS menjadi bank digital utama Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.
GXS Bank memiliki lesen perbankan daripada Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan dimiliki oleh gabungan syarikat yang terdiri daripada Grab Holdings Inc dan Singtel.
Bank itu turut bekerjasama rapat dengan GXBank di Malaysia dan Superbank di Indonesia.- DagangNews.com
standard


